Cyberjaya, 8 Januari 2026 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) hari ini melakar satu lagi detik penting dalam sejarah penubuhannya apabila Tahun Infak YAPEIM 2026 dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan.
Pelancaran ini memperkukuh kedudukan YAPEIM sebagai institusi infak berimpak tinggi di Malaysia, selaras dengan sasaran kutipan dana infak sebanyak RM70 juta bagi tahun 2026. Inisiatif ini turut menzahirkan komitmen berterusan YAPEIM dalam memperkasa ekosistem infak negara secara lebih mampan, berintegriti dan berkesan.
Objektif utama pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 adalah untuk menjadikan YAPEIM sebagai institusi infak pilihan utama, di samping memperluas penyertaan penyumbang dalam kalangan individu dan badan korporat. Usaha ini juga bertujuan mengukuhkan budaya infak sebagai amalan berterusan masyarakat serta meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti dalam pengurusan dana infak.
Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim, barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Ahli Jawatankuasa Khusus, Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, serta barisan pengurusan utama YAPEIM.
YAPEIM melihat pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 sebagai satu momentum strategik untuk melonjakkan semula budaya infak sebagai norma kehidupan masyarakat, sekali gus memperkukuh sistem pendanaan sosial negara secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Seiring dengan peningkatan dana infak, YAPEIM yakin hasil kutipan tersebut dapat diterjemahkan secara berkesan melalui agihan kepada kumpulan sasar yang memerlukan, berteraskan tiga fokus utama iaitu Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan.
Majlis ini turut diserikan dengan sesi penyampaian amanat oleh Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Tuan Haji Zabidi bin Nasan kepada seluruh Warga Kerja YAPEIM sempena Majlis Pelancaran Tahun Infak YAPEIM 2026 yang diadakan bersekali dengan Majlis Perhimpunan Warga Kerja YAPEIM.
YAPEIM optimis seluruh warga kerjanya mampu berganding bahu merealisasikan aspirasi dan sasaran yang telah digariskan, selaras dengan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2026.















