Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI salur bantuan

Kuantan, 23 Disember 2025 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan hari ini menyantuni komuniti di sekitar daerah Kuantan yang terjejas akibat banjir dengan menyampaikan bantuan keseluruhan berjumlah RM118,000 kepada 300 penerima manfaat.

Bantuan yang merupakan inisiatif Program Bantuan Pasca Bencana Skuad Ihsan MADANI itu membabitkan agensi di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan dan TV Al Hijrah yang terbabit secara langsung dalam misi bantuan banjir ini yang diadakan di KAFA Ubudiah Al Jariah, Kuantan.

Pada program ini YAPEIM menyerahkan bantuan tunai bernilai RM100 dan bantuan 300 pek foodbank bernilai RM100 kepada 300 mangsa banjir di Kuantan dengan jumlah RM60,000 yang merupakan sebahagian daripada RM2.7juta peruntukan bagi Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025.

Sementara JAKIM telah menyerahkan bantuan 50 bakul makanan dan kit solat bernilai RM15,000 diikuti JAWI yang menyerahkan bantuan 80 lampin pakai buang bernilai RM3,000, bantuan 200 kit kebersihan bernilai RM6,000 disumbangkan YADIM dan serahan 300 pek barangan iaitu selimut, toto dan kain batik/kain pelikat bernilai RM33,000 yang disumbangkan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan pada program ini bernilai RM118,000.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama, Kemajuan Desa & Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, ADUN Inderapura Dato’ Sri Hj Shafik Fauzan bin Sharif, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM YBhg. Brig. Jen Datuk Hj Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang YH Dato’ Haji Khirrizal bin Ab Rahman, Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa Tuan Abdullah Zuhdee bin Ab Halim.

YAPEIM sebelum ini mengumumkan peruntukan RM2.7 juta dalam Program Bantuan Banjir YAPEIM 2025 yang merupakan kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Misi ini bertujuan meringankan beban mangsa banjir dalam fasa pemulihan pasca bencana serta memastikan kebajikan masyarakat setempat terus terbela selari dengan naratif MADANI bekerja.