Penutup tirai Aidilfitri MADANI YAPEIM salur RM46,500, bantu masyarakat di Kuala Pilah

Kuala Pilah, 29 April 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM46,500 bagi Program Aidilfitri MADANI YAPEIM di Dewan Tuanku Ampuan Najihah, Seri Menanti, di sini hari ini.

Majlis serahan sumbangan dan perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan. Beliau menyampaikan bantuan Aidilfitri MADANI YAPEIM secara keseluruhan bantuan berjumlah RM46,500.

Bantuan yang disalurkan berupa bantuan sumbangan institusi pembangunan kapasiti kepada Masjid Asy-Syuja’ah Merlimau berjumlah RM5,000; sumbangan Aidilfitri kepada 50 keluarga berjumlah RM10,000; sumbangan Aidilfitri (Institusi) & pelajar kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah berjumlah RM15,000 dan keraian Aidilfitri dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM16,500.

Sehingga hari ini, program Aidilfitri MADANI YAPEIM telah singgah di sembilan negeri dan di Kuala Pilah merupakan lokasi terakhir bagi menyalurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.

Hadir sama Pengarah/Ketua Divisyen Perkhidmatan YAPEIM Encik Muhamad Khairul Anuar bin Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri Encik Mohd Norlisan bin Yaacob dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah Tuan Haji Kamanizam bin Haji Tindek.

Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.