Majlis Penyerahan Mock Up Cheque Program Sinar Kasih Anjuran YAPEIM Kepada Tentera Darat

KUALA LUMPUR, 29 Disember 2020 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menerima Kunjungan Hormat daripada pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bertempat di Pejabat PTD, Wisma Pertahanan, disini semalam.

Kunjungan Hormat ini dilakukan sempena Majlis Penyerahan Mock Up Cheque Program Sinar Kasih YaPEIM. Program Sinar Kasih, merupakan salah satu aktiviti daripada Program Kecemerlangan Komuniti YaPEIM, dalam usaha membantu anak-anak yatim dengan mengurangkan bebanan kewangan keluarga mereka.

Majlis dimulakan dengan penyerahan Mock Up Cheque oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah bin Abdul Wahid kepada Tan Sri PTD. Pihak YaPEIM telah berbesar hati untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada anak-anak yatim waris anggota Tentera Darat (TD) yang telah meninggal dunia akibat kemalangan.

Seramai 51 orang anak yatim anggota TD yang terdiri daripada 17 keluarga akan menerima bantuan di bawah Program Kasih YaPEIM ini. Setiap anak yatim tersebut akan menerima RM200.00 seorang selama setahun.

Majlis diakhiri dengan acara penyampaian cenderahati oleh Tan Sri PTD kepada Pengerusi YaPEIM.

Turut hadir dalam majlis adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, Ketua Staf TD, Mejar Jeneral Dato’ Haji Subari bin Haji Tomo dan Asisten-Asisten Ketua Staf serta Pegawai Kanan TD.

Sumber – Fb Tentera Darat Malaysia