SEREMBAN, 15 Oktober 2025 – Delegasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun di Wisma Negeri bagi memperkukuh jalinan strategik bersama Kerajaan Negeri.
Delegasi YAPEIM diketuai oleh
En. Khairul Faiz Morat, Pengerusi Lembaga Pengarah YAPEIM Holdings / Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM disertai Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi Nasan, Ketua Divisyen Kewangan YAPEIM, En. Azhar Mohd Zaki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan YAPEIM Holdings En. Irwan A. Rahman.
Dalam pertemuan tersebut, YAB Menteri Besar menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif YAPEIM dalam agenda pembangunan ummah merangkumi aspek ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial. Beliau turut menggalakkan penglibatan masyarakat menerusi kerjasama Rakan Strategik Infaq dan Rakan Strategik Korporat YAPEIM bagi memperluas manfaat kepada rakyat.
YAB Menteri Besar juga menyambut baik inisiatif pembangunan hartanah YAPEIM di Negeri Sembilan, selain berkongsi pandangan strategik agar pelaksanaannya memberi impak tinggi kepada komuniti setempat.
Pada sesi tersebut, YAPEIM membentangkan perkembangan perkhidmatan Pusat Pemantauan Pintar Negara yang dioperasikan oleh YAPEIM Holdings Sdn. Bhd. (YHSB) menggunakan teknologi pemantauan moden secara berpusat.
YAB Menteri Besar turut menyokong usaha memantapkan ekosistem emas YAPEIM, yang kini memiliki 203 cawangan Ar-Rahnu YAPEIM dan 8 Cawangan YAPEIM Gold Akses di seluruh negara, sebagai langkah memperkukuh kestabilan ekonomi masyarakat melalui pemilikan emas.
Kunjungan ini menjadi platform penting memperkukuh kerjasama strategik antara YAPEIM dan Kerajaan Negeri Sembilan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat berteraskan pendekatan sosioekonomi Islam yang mampan.






