Keluarga B40 syukur terima rumah

23 Julai 2025 – Tiga penerima manfaat Program Sinar Lestari di Pulau Pinang hari ini menzahirkan kesyukuran dan terima kasih kepada YAPEIM kerana dapat merealisasikan impian mereka untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa.

Mereka adalah Encik Mohd Affindi bin Md Rashid, dari Bukit Mertajam, Encik Rusnizam bin Md Yusof dari Jalan Permatang Keriang, Penaga dan Encik Tahir bin Suhid dari Jalan Pasir Gebu, Penaga masing-masing menerima bantuan kediaman bina baharu yang berjumlah RM80,000 setiap satu.

Majlis serahan rumah kepada penerima telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di kediaman Encik Tahir di Jalan Pasir Gebu, Penaga, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan wakil Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM/PPPNK).

Dalam masa sama, YAPEIM akan mempertimbangkan bantuan geran keusahawanan sehingga RM5,000 dalam bentuk sokongan perniagaan kepada penerima manfaat dalam kalangan B40 daripada senarai eKasih di Pulau Pinang.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im berharap Program Sinar Lestari YAPEIM di negeri Pulau Pinang ini dapat memberi keceriaan kepada penerima manfaat selepas memperoleh kediaman yang lebih selesa daripada sumbangan masyarakat yang disalurkan kepada Tabung Amanah YAPEIM.

Usaha yang dilakukan YAPEIM ini sebahagian inisiatif membantu keluarga B40 mempunyai kediaman yang selesa selain menyahut seruan kerajaan yang meminta setiap agensi agresif membantu masyarakat memerlukan dan mendukung semangat aspirasi MADANI Bekerja.