Keluarga B40 syukur terima foodbank YaPEIM

Petaling Jaya, 24 Oktober – Pengawal keselamatan di pangsapuri Pelangi Damansara, di sini, tidak menyangka bantuan foodbank 2.0 YaPEIM dan bantuan satu kilogram daging segar diterima mereka hari ini.

Menurut Ismail Ali, 59, gaji sebagai pengawal keselamatan yang diterimanya setiap bulan hanya ‘cukup makan’ dan bantuan yang diberikan hari ini sangat bermakna buatnya dan keluarga.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada YaPEIM atas sumbangan yang diberikan ini, saya harap sumbangan seumpama ini diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau antara 100 penerima bantuan foodbank berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung gandum disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid. Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan, Ketua Pengarah JAWHAR, Tuan Haji Roslan Said serta barisan pengurusan YaPEIM.

Sementara itu, bagi pemandu van sekolah, Abdul Rashid Mat Ali, 51, bantuan foodbank YaPEIM yang diterimanya pada hari ini tepat pada masanya di saat wabak Pandemik COVID-19 melanda.

Katanya, ramai dikalangan kumpulan keluarga B40 yang terjejas dengan situasi terkini dan bantuan foodbank YaPEIM amat bermanfaat.