“Kami doakan kamu tabah”

Tidak bermaya, sugul dan sedih jelas terpancar di wajah rata-rata mangsa banjir kilat di kampung sekitar kaki Gunung Jerai di Yan dan Kuala Muda, ketika lawatan dilakukan wakil pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Parihah Hasan, hari ini.

Tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata apa yang sedang dilalui mereka, sekurang-kurangnya bantuan awal yang dihulurkan YaPEIM bersama Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diharapkan sedikit sebanyak menjadi penawar kesedihan tatkala ujian yang menimpa.

Sumbangan sebanyak 300 pek makanan Foodbank YaPEIM itu juga diharap mampu meringankan beban yang kini ditanggung mereka yang pastinya tidak menduga musibah yang datang secara mengejut ini.

Sudah pasti sumbangan ini bukanlah yang terakhir buat mereka, Insya-Allah YaPEIM akan bekerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk menyalurkan sumbangan lain yang bersesuaian selepas ini.

Kami di sini sentiasa mendoakan mangsa banjir kilat cekal dan tabah dalam menempuhi apa yang menimpa mereka, pastinya ada hikmah yang ingin diberikan Allah SWT dengan setiap ujian yang diturunkan.