Inspirasi Qaseh Kami : Penduduk Desa Mentari dirai hidangan percuma

Petaling Jaya, 6 Februari : Bangun seawal jam 6 pagi bagi menyediakan makanan kepada lebih 100 penduduk di Desa Mentari, di sini, ternyata satu usaha murni yang digembleng penduduk di kawasan itu bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Inisiatif turut diambil Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Persatuan Penduduk Petaling Jaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ternyata memberi kegembiraan buat kumpulan B40 ini yang turut menerima bantuan Foodbank YaPEIM.

Usaha ini juga mempunyai objektif iaitu memberi sedikit kegembiraan seterusnya menjadi bentuk sokongan kepada mereka yang memerlukan serta mengurangkan bebanan keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah berpendapatan rendah.

Bagi menjayakan usaha ini YaPEIM tidak ketinggalan menyumbang 50 kilogram daging segar, 20 kampit beras dan 20 botol minyak masak untuk dimasak dalam program ‘Dapur Perpaduan Projek Komuniti Kerajaan Prihatin’ di mana ia usaha kolaborasi strategik menyantuni mereka yang terkesan dengan situasi semasa.

Program ini turut mendapat perhatian Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri yang turut hadir menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dan barisan pengurusan utama YaPEIM.