Inspirasi Qaseh Kami : Mangsa banjir di johor terima Foodbank YaPEIM

Bandar Tenggara, 15 Januari : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Panti menjejaki mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Kota Tinggi, di sini, semalam.

Seramai 250 buah keluarga yang terjejas akibat banjir beberapa hari lalu menerima bantuan Foodbank YaPEIM Dry Food bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.

Bantuan berupa beras, minyak masak, gula dan makanan asas lain diagihkan di beberapa kawasan terlibat antaranya Kampung Bukit Lintang, Kampung Jawa dan Kampung Semanggar.

Sementara itu, sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM dan RELA di PPS Bukit Lintang, Semanggar dan Balai Polis Batu Ampat turut menerima sumbangan dari YaPEIM bagi meraikan jasa dan pengorbanan frontliner yang bertungkus lumus memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara.

Turut hadir, Tuan Fadzilul Khair Yusof, Pegawai Khas mewakili Pusat Khidmat Masyarakat DUN Panti dan ketua-ketua komuniti setempat bersama-sama mengagihkan bantuan kepada mereka yang terkesan dengan bencana ini.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak khususnya penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang senantiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.