Inspirasi Qaseh Kami : Dr Zulkifli, YaPEIM santuni golongan asnaf

Besut, 5 Mac : 50 asnaf di daerah ini menerima bantuan Foodbank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Berdasarkan rekod, majoriti penerima merupakan mereka yang bekerja di sektor pembinaan, perikanan selain bekerja sendiri dalam usaha menampung perbelanjaan seisi keluarga.

Sumbangan diserahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu majlis ringkas sempena lawatan kerja ke Kelantan dan Terengganu di cawangan Ar Rahnu YaPEIM Kota Putra, di sini.

Pengurus Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Terengganu Kartina Ahmad berkata, data penerima kali ini diperoleh menerusi rekod pelanggan Ar Rahnu YaPEIM yang tersenarai di dalam sistem e-kasih selain melalui seliaan dan proses saringan di pihak PPYN.

Untuk rekod, Ar Rahnu YaPEIM Kota Putra merupakan premis Ar Rahnu YaPEIM yang mencatatkan nilai keuntungan kedua tertinggi daripada 212 Ar Rahnu milik YaPEIM bagi tahun 2020 dan terkumpul.

Hadir sama, Pengarah Kanan di Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi YaPEIM Mohammad Zamri Zakaria dan Pengurus PPYN Kelantan Nik Mohd Nurul Ihsan Salleh.