Doakan kami jadi pembayar zakat

Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) serta diiktiraf sebagai asnaf tidak menjadi penghalang buat Sulaiman Stapa, 64, bekerja keras untuk menyara dirinya dan keluarga.

Kudung kedua-dua belah kakinya tidak dijadikan alasan buat lelaki warga emas ini untuk bermalas-malasan sebaliknya terus gigih mencari rezeki melalui pelbagai cara dan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan kepadanya.

Hasilnya menerusi satu kerjasama antara YaPEIM, Maybank Islamic dan Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam membangunkan projek ternakan ayam kampung kacuk, membolehkan Sulaiman terlibat secara langsung sebagai penternak sekali gus memberikan pendapatan kepada dirinya.

Menurut Sulaiman, usaha ini membolehkan beliau meraih pendapatan tambahan kira-kira RM700-RM800 sebulan hasil jualan ayam kampung kacuk yang dijual.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak YaPEIM, Maybank Islamic, UMK serta semua yang terlibat atas sumbangan serta bimbingan dan latihan yang diberikan kepadanya dan rakan-rakan yang lain sehingga membolehkan projek ternakan ayam kampung kacuk ini berjaya direalisasikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu asnaf OKU seperti saya. Mungkin sekarang saya banyak menerima bantuan, manalah tahu satu hari nanti saya dan rakan-rakan penternak pula mampu membayar zakat, memberi sedekah dan membantu orang lain,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Asnaf (Inspirasiprenuer Komuniti Maybank Islamic-YaPEIM) di Tok Bali, Kelantan.

Program yang turut mendapat kerjasama Majlis Pemulihan Negeri Kelantan (MPNK) serta Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) itu melibatkan 100 peserta yang terpilih yang terdiri daripada 50 orang mewakili KUNITA yang mengusahakan produk ikan lunak dan 50 orang asnaf OKU yang mengusahakan produk ayam kampung kacuk.

Majlis dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah YaPEIM Tuan Haji Ameer Ali bin Vali Mohamed yang mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar di Penempatan Semula Nelayan Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.