Kuala Lumpur, 31 Oktober 2025 – Detik bersejarah tercipta buat Ar Rahnu YAPEIM apabila jenama unggul pajak gadai Islam negara itu menerima Anugerah Most Preferred Brand, Shariah Financial – Economic Empowerment 2025, pada Majlis The BrandLaureate Awards 2025 Edisi Khas Ulang Tahun Ke-20, malam tadi.
Lebih bermakna, anugerah berprestij ini merupakan pengiktirafan julung-julung kali diterima oleh Ar Rahnu YAPEIM sepanjang 25 tahun penubuhannya, sekaligus membuktikan kredibiliti dan keteguhan institusi ini sebagai peneraju utama dalam memperkasa ekonomi umat melalui sistem pajak gadai Islam yang patuh syariah.
Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, dalam majlis penuh gemilang yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Menurut Tuan Haji Zabidi, pengiktirafan ini menjadi simbol kejayaan YAPEIM dalam memperkukuh kepercayaan masyarakat terhadap Ar Rahnu sebagai medium pembiayaan mikro yang beretika, telus dan berlandaskan prinsip Islam.
“Anugerah ini amat bermakna buat seluruh warga YAPEIM. Ia bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha kami selama ini, tetapi juga dorongan untuk terus menambah baik perkhidmatan dan memperluas manfaat kepada rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Kini, dengan 201 cawangan Ar Rahnu YAPEIM di seluruh negara, YAPEIM kekal komited memperluas akses kewangan Islam yang inklusif bagi membantu masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, agar terus berdaya maju.
Ditubuhkan pada 12 Februari 1996, Koperasi YAPEIM Berhad telah menjadi pelaksana utama bagi perkhidmatan Mikrokredit Ar Rahnu YAPEIM sejak tahun 2000, dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem ekonomi Islam serta memperkasa kesejahteraan ummah di Malaysia.






