Putrajaya, 14 April 2026 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menerusi majlis serahan sumbangan Aidilfitri 2026 telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM3.12 juta yang memanfaatkan 29,100 penerima terdiri dalam kalangan pelajar dan masyarakat memerlukan di seluruh negara.
Penganjuran majlis serahan sumbangan Aidilfitri 2026 yang melibatkan 192 lokasi program di seluruh negara telah bermula pada 26 Mac lalu di Ar Rahnu YAPEIM cawangan Kapar, Selangor dan akan berakhir pada 18 April ini.
Manakala majlis serahan sumbangan Aidilfitri 2026 peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan, di Ibu Pejabat YAPEIM, Menara Ochre, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim; Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan, barisan ahli lembaga pemegang amanah YAPEIM dan pengurusan utama YAPEIM.
Majlis peringkat kebangsaan menyaksikan YAPEIM membelanjakan RM63,500 bagi penganjuran majlis dan serahan sumbangan. Seramai 300 pelajar menerima bantuan tunai RM100 setiap seorang dan juga bantuan kepada 100 ketua isi rumah iaitu bantuan tunai RM100 dan bantuan bakul makanan bernilai RM100.
Penganjuran majlis ini juga turut mendapat kerjasama rakan strategik korporat iaitu Hong Leong Islamic Bank, Affin Islamic Bank, Gas Malaysia Berhad, QSR Brands (M) Holdings Bhd, Mcdonald’s Malaysia dan Nestle Malaysia yang turut sama menyalurkan dana dan juga sumbangan makanan serta minuman.
QSR Brands (M) Holdings Bhd telah menyumbangkan sumbangan berjumlah RM34,000 dengan pecahan RM25,000 bagi program Aidilfitri MADANI YAPEIM dan RM9,000 untuk program Ramadan MADANI YAPEIM. Affin Islamic Bank pula menyumbang RM20,000 manakala Hong Leong Islamic Bank dan Gas Malaysia Berhad masing-masing menyumbangkan RM10,000. Sebanyak RM3,000 disumbangkan oleh Mcdonald’s Malaysia.
Majlis serahan sumbangan Aidilfitri 2026 merupakan pelengkap kepada pelaksanaan program Ramadan MADANI dan Infak Qurban MADANI dengan menumpukan kepada aspek pengukuhan ukhuwah, kesyukuran dan pemberdayaan komuniti selepas berlalunya bulan Ramadan.
Ia juga mempunyai objektif untuk menyemarak semangat Syawal sebagai bulan kesyukuran dengan budaya memberi dan berkongsi rezeki melalui inisiatif budaya infak dan konsep memberdaya individu dan komuniti.

















