PMX saksi kerjasama USAS-YAPEIM, manfaat masyarakat terbanyak

Permatang Pauh, 8 November 2025 – Hampir RM800,000 disalur YAPEIM kepada komuniti masyarakat yang memerlukan menerusi penganjuran program Komuniversiti Kolaboratif antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan YAPEIM di Kampung Cherok Tok Kun, di sini, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, hari ini.

Sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang penuh bersejarah antara USAS dan YAPEIM ini turut disaksikan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim.

Melalui pemeteraian MoU itu juga maka lahirlah Program Komuniversiti Kolaboratif USAS dan YAPEIM yang menyaksikan RM400,000 disalurkan kepada 200 penerima manfaat menerusi Bantuan Pelajar Tahfiz ‘Fast Track’ kepada USAS. Bantuan ini merupakan satu daripada tiga teras YAPEIM iaitu Pembangunan Pendidikan.

Bantuan ini turut disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui kerjasama dengan YAPEIM, sekali gus memperkukuh lagi impak program dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat.

Selain itu juga YAPEIM turut menyalurkan sumbangan kepada USAS berjumlah RM239,710 yang memanfaatkan 4,000 penerima manfaat. Bantuan ini juga merupakan satu daripada tiga teras YAPEIM iaitu Pembangunan Kemasyarakatan.

Disamping itu, YAPEIM turut menyerahkan bantuan berjumlah RM90,000 kepada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM/PPPNK) bagi menjayakan program Bantuan Keusahawanan (Sinar Lestari).

YAPEIM juga menyerahkan sumbangan berjumlah RM62,500 yang merupakan Bantuan Pendidikan (Didik MADANI) kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang untuk memanfaatkan pelajar dan institusi pendidikan yang memerlukan.

Majlis turut dihadiri Menteri Sumber Manusia YB Tuan Sim Chee Keong; Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Chow Kon Yeow; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan; Naib Canselor USAS Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri bin Wan Yusof.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Haji Ir. Shatiri bin Mansor dan Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan.