YAPEIM dan BPMB Sepakat Perkasa Kerjasama Strategik

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2025 –Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) hari ini menzahirkan komitmen bersama untuk memperkasa kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem ekonomi serta memperluas impak sosial melalui inisiatif berteraskan infak dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Perbincangan antara Ketua Pengarah YAPEIM, YBrs. Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, YBhg. Dato’ Muzaffar Hisham membuka ruang kepada pelaksanaan program bersama seperti pendanaan infak korporat, pembangunan usahawan mikro, dan inisiatif pendidikan serta penerokaan strategik ruang pelaburan melibatkan emas.

Kerjasama ini menjadi pemangkin ke arah memperkukuh ekonomi ummah dan menyokong aspirasi YAPEIM sebagai institusi infak pilihan rakyat Malaysia. Turut hadir, Ketua Pegawai Pembangunan Korporat Kumpulan BPMB YBhg. Datuk Wira Dr Mohammad Hardee bin Ibrahim, Ketua Shariah SME Bank, YBrs. Ust. Jumadi Kadir, dan pengurusan YAPEIM.