Malam Media YAPEIM berlangsung meriah, salur bantuan RM55,500

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 – Majlis Apresiasi dan Amal YAPEIM Bersama Media 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran kira-kira lebih 150 pengamal media daripada pelbagai latar belakang organisasi di sekitar Lembah Klang, malam tadi.

Majlis itu menyaksikan buat kali ketiga berturut-turut YAPEIM menyalurkan sumbangan kepada pengamal media yang memerlukan dengan sumbangan kali ini berjumlah RM55,500.

Inisiatif ini telah dimulakan sejak tahun 2023 bagi membantu wartawan, jurugambar, jurukamera dan bekas pengamal media yang kurang bernasib baik di mana mereka akan dibantu dengan bantuan tunai dan sumbangan sokongan peralatan perubatan.

Seramai 50 pengamal media menerima bantuan kebajikan berjumlah RM1,000 seorang sementara lima lagi pengamal media menerima sumbangan sokongan peralatan perubatan yang keseluruhan berjumlah RM5,500.

Inisiatif sumbangan sokongan peralatan perubatan ini merupakan inisiatif kali pertama diperkenalkan YAPEIM bagi membantu pengamal media dan ahli keluarga mereka yang memerlukan.

Majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim; Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM.

Terima kasih diucapkan kepada lima persatuan/kelab iaitu Kelab Media KL dan Selangor (KLS), Tabung Kasih @ HAWANA; Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA), Kelab Media Putrajaya dan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) atas kerjasama yang diberikan dengan membantu mengesan pengamal media yang memerlukan.