YAPEIM, YDSM jalin kerjasama, salur bantuan RM550,000

Hulu Terengganu, 4 Oktober 2025 – Sebanyak RM550,000 disalur menerusi penganjuran Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY) hasil kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dengan kerjasama Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Tasik Kenyir, hari ini.

Projek PPKY kali ke-14 ini telah disempurna dan dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim.

Projek yang memanfaatkan masyarakat setempat itu telah menyalurkan sumbangan Program Sinar Lestari YAPEIM (bina baharu rumah) kepada dua ketua keluarga yang masing-masing bernilai RM80,000 satu unit, menjadikan keseluruhan berjumlah RM160,000; sumbangan baik pulih premis kediaman kepada tiga ketua isi rumah bernilai RM30,000 setiap unit dengan keseluruhan berjumlah RM90,000.

Dalam majlis ini YAPEIM turut memperuntukkan RM130,000 bagi membantu usahawan sekitar; manakala dalam sektor pendidikan, insentif berjumlah RM100,500 disalurkan kepada 500 pelajar dan 10 sekolah/institusi pendidikan termasuk RM69,500 kepada 300 pelajar tahfiz.

Bantuan ini turut disumbangkan oleh MAIWP melalui kerjasama dengan YAPEIM, sekali gus memperkukuh lagi impak PPKY dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat setempat.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Haji Mohd Fadzli bin Yusof.

Program PPKY yang mengambil masa selama tiga tahun ini merupakan satu pendekatan holistik dalam menyantuni komuniti setempat melalui pelaksanaan aktiviti dan pemantauan berterusan yang merangkumi pembangunan ekonomi Islam, pendidikan serta kemasyarakatan. Sehingga kini, PPKY telah menyantuni masyarakat di seluruh negara sejak ia mula dilaksanakan pada Februari 2023 di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur.

Kerjasama strategik ini tercetus hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara YAPEIM dan YDSM yang turut disaksikan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin selaku Pengerusi YDSM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar pada 28 September lalu, sekali gus memberi pengiktirafan kepada YAPEIM sebagai institusi yang aktif menyantuni masyarakat memerlukan.