4 keluarga disantuni bantuan berjumlah RM220,000 menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM

Seremban, 28 Ogos 2025 – Program MADANI Prihatin Inisiatif Kasih Sejahtera anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan terus memperkasa agenda kebajikan rakyat melalui pendekatan berteraskan kasih sayang dan keprihatinan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, hari ini.

YAPEIM sebagai rakan strategik menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM telah menyalurkan sejumlah RM220,000 kepada empat penerima manfaat, melibatkan dua projek bina baru dan dua projek baik pulih rumah. Penerima ialah Normasnira binti Yusof (RM80,000 – bina baru), A’ini binti Ab Hamid (RM80,000 – bina baru), Siti Nazeyrah binti Md Jamil (RM30,000 – baik pulih) dan Saiful bin Shaharuzzaman (RM30,000 – baik pulih).

Turut hadir Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Mohd Zafir Ibrahim dan Pengarah Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Noor-Ihsan bin Hj. Che Mat.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan YAPEIM dalam menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan yang memerlukan. Ia bukan sekadar bantuan infrastruktur tetapi satu usaha membina semula harapan, memperkukuh kesejahteraan dan mengangkat martabat kehidupan rakyat Negeri Sembilan.