Hampir 500 warga kerja YAPEIM dan keluarga meriahkan Fun Run Walk

20 Julai 2025 – Hampir 500 peserta terdiri dalam kalangan warga kerja YAPEIM dan ahli keluarga memeriahkan aktiviti Fun Run Walk YAPEIM 2025 awal pagi ini sempena sambutan ulang tahun YAPEIM ke-41.

Aktiviti yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu bermula jam 7 pagi dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim serta barisan ahli LPA YAPEIM.

Turut hadir, Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan serta pengurusan utama YAPEIM.

Majlis turut diselingkan dengan aktiviti regangan dan senam aerobik sebelum sesi pelepasan peserta yang disempurnakan Tuan Abdul Khudus pada 7.50 pagi.

Penganjuran Fun Run Walk YAPEIM 2025 ini bertujuan memeriahkan sambutan ulang tahun YAPEIM ke-41 selain menerapkan amalan dan gaya hidup sihat dalam kalangan warga YAPEIM sambil mengeratkan hubungan dan meningkatkan lagi semangat dan motivasi.

Peserta perlu menghabiskan larian sejauh 4.1 kilometer dan mengemukakan catatan masa larian kepada penganjur sebelum boleh menuntut pingat kejohanan.

Selain larian secara fizikal, larian ini turut dianjurkan secara ‘virtual’ bagi membolehkan warga kerja YAPEIM yang bertugas di cawangan menyertainya bersama.

Sementara itu, Tuan Abdul Khudus berharap aktiviti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar sebagai salah satu daripada acara sempena sambutan ulang tahun YAPEIM.