YAPEIM dan Tabung Haji perkukuh kerjasama

KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025 – YAPEIM yang diketuai oleh Ketua Pengarah, YBrs. Tuan Haji Zabidi bin Nasan telah mengadakan kunjung hormat ke atas Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Shariah TH, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBrs. Tuan Haji Mustakim bin Muhamad serta pengurusan kanan Tabung Haji.

Antara perbincangan utama ialah inisiatif untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dan meneroka potensi bagi pemerkasaan program/aktiviti yang melibatkan pembangunan keusahawanan, pendidikan dan kemasyarakatan. Perbincangan turut merangkumi penerokaan mekanisma pendanaan yang inovatif bagi memastikan kelestarian agenda membangun ummah.

Kolaborasi ini dijangka menjadi anjakan paradigma dalam kerjasama strategik, dengan aktiviti berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat, sekaligus menyokong aspirasi kerajaan dalam memacu kesejahteraan ummah.