27 April 2025 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan berjumlah RM196,500 bagi program Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM (PPKY), Aidilfitri MADANI YAPEIM dan Program Sinar Lestari YAPEIM di Masjid Al-Ghufran, di sini hari ini.
Majlis serahan sumbangan dan perasmian program disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Bantuan yang memanfaatkan kumpulan sasar di Perlis itu berupa sumbangan PPKY yang keseluruhan berjumlah RM60,000. Bantuan tersebut adalah sumbangan RM20,000 kepada pihak Masjid Al-Ghufran bagi tujuan jamuan keraian Aidilfitri dan kemasyarakatan kepada 600 tetamu; bantuan kewangan keluarga dan makanan secara tunai kepada 160 penerima berjumlah RM20,000; bantuan kewangan pendidikan RM50 kepada 200 penerima berjumlah RM10,000; serta lain-lain sumbangan dan bantuan berjumlah RM10,000.
Bagi bantuan Aidilfitri MADANI YAPEIM secara keseluruhan bantuan yang disampaikan berjumlah RM46,500. Bantuan tersebut adalah sumbangan Sinar Kasih iaitu melibatkan sumbangan Aidilfitri kepada 50 keluarga miskin bernilai RM200 setiap satu yang keseluruhan berjumlah RM10,000; sumbangan Aidilfitri kepada institusi berjumlah RM5,000; sumbangan pembangunan kapasiti berjumlah RM5,000; sumbangan YAPEIM Didik kepada 100 penerima yang bernilai RM100 setiap seorang yang keseluruhan berjumlah RM10,000; dan lain-lain sumbangan dan bantuan berjumlah RM16,500.
YAPEIM turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti tiga calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YAPEIM.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM Tuan Abdul Khudus bin Mohd Naaim dan Ketua Pengarah YAPEIM Tuan Haji Zabidi bin Nasan.
Program PPKY yang mengambil masa selama tiga tahun ini merupakan satu pendekatan yang holistik dalam menyantuni masyarakat atau komuniti setempat dengan pelaksanaan aktiviti dan pemantauan yang berterusan yang merangkumi pembangunan ekonomi/keusahawanan, bantuan pendidikan dan bantuan kemasyarakatan. Sehingga kini PPKY telah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang, Melaka, Sabah, Perak, Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang dan Johor.
Manakala Program Aidilfitri MADANI YAPEIM dianjur bertujuan menyantuni dan menyasarkan penerima manfaat Program Pembangunan Keusahawanan, Kemasyarakatan dan Pendidikan YAPEIM di samping menjadi medan terbaik dalam mempromosi dan memperkenalkan YAPEIM khususnya penyumbang baharu dan sedia ada kepada skim-skim infak YAPEIM.










