Serdang, 23 Oktober – Seramai 60 asnaf dari kariah Masjid Al Muttaqin, Seri Kembangan, di sini, menzahirkan kesyukuran dengan pemberian bungkusan barangan keperluan asas Foodbank YaPEIM 2.0 dan satu kilogram daging segar hari ini.
Nazir Masjid Al Muttaqin, Wan Jamali Wan Kamaruddin, 48, berkata, kesemua 60 asnaf itu dipilih daripada kalangan keluarga yang benar-benar memerlukan dan terjejas dari segi pendapatan akibat pandemik COVID-19.
“Mereka gembira dan bersyukur dengan pemberian foodbank serta daging segar yang diserahkan pihak YaPEIM hari ini. Bantuan ini adalah yang pertama diterima pihak kami daripada YaPEIM.
“Bantuan ini tiba tepat pada masanya disaat ada dikalangan asnaf yang terjejas dari segi pendapatan,” katanya.
Sumbangan disampaikan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Nushi Mahfodz dan disaksikan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan serta barisan pengurusan YaPEIM.
Sementara itu, Wan Jamali berharap bantuan seumpama ini diteruskan dari semasa ke semasa kerana ramai kumpulan asnaf yang terkesan dengan keadaan yang melanda negara ketika ini.