YaPEIM, MAIPk Bantu Peniaga Pisang Goreng Menerusi Program INSPIRASIKU MyHAUS

IPOH, 14 NOVEMBER : Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengambil inisiatif membantu keluarga Encik Azidi Sudin yang menetap di Kampung Sri Aman, Menglembu, di sini yang hidup dalam serba kekurangan.

Azidi berusia 53 tahun berstatus asnaf dibantu dari pelbagai sudut seperti bantuan pembinaan tempat tinggal iaitu dibawah Program Inspirasiku MyHAUS berjumlah RM40,000.

Selain itu beliau juga dibantu melalui program bantuan perniagaan berjumlah RM5,000 dan Bantuan Inspirasi Pendidikan Anak berjumlah RM5,000 yang mana keseluruhannya berjumlah RM50,000.

Azidi yang hanya berniaga air dan menjual pisang goreng dikurniakan enam cahaya mata masing-masing Mohamad Aiman, 21; Muhammad Jeslen Amirul, 19; Puteri Nurul Nordiana, 18; Muhammad Shah Herel, 15; Muhammad Ramadan, 13; dan Muhammad Hakim, 10. Dengan pendapatan sekitar RM1300 sebulan dia perlu menanggung dan membesarkan kesemua anaknya termasuk Muhammad Shah Herel yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).

Simbolik penyerahan rumah Azidi disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad, di Kampung Sri Aman, Menglembu, di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Hj. Redza Shah Abdul Wahid & Ketua Pengarah YaPEIM, Tn. Hj. Mohd Ridzal Mohd Sheriff.

Inisiatif yang dilaksanakan ini bertitik tolak dari mesyuarat pasca kabinet bertarikh 11 Jun 2020 yang mahukan penglibatan semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali gus memperkasa sosioekonomi masyarakat dan meningkatkan kualiti hidup asnaf yang dibantu.

Justeru, tujuh teras sokongan YaPEIM diperkenalkan bagi memudahkan segala bentuk bantuan disalur kepada golongan sasar. Tujuh teras sokongan digariskan merangkumi apresiasi, tempat tinggal, kelestarian kehidupan, pemerkasaan latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak dan pembangunan sahsiah diri.

Kesemua teras sokongan ini dilihat dapat membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik daripada pelbagai latar belakang yang dilihat wajar diberi peluang dalam meningkatkan tara ekonomi, kualiti kehidupan dan pendidikan.

Inisiatif ini membabitkan warganegara dan permastautin di Malaysia; mereka yang didaftarkan dalam Pangkalan Data Kemiskinan (PDK) dan Pangkalan Data Golongan Kurang Bernasib Baik (PDKBB). Individu atau golongan yang ditimpa musibah seperti bencana, kemalangan, hilang punca pendapatan, masalah kesihatan dan sebagainya juga dikategorikan layak menerima inisiatif yang dilancarkan ini.

Sehubungan itu, inisiatif Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM ini diharap mampu memberi manfaat kepada kumpulan sasar sekali gus meningkatkan taraf hidup serta keupayaan penerima untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Selain itu objektif Projek MyHAUS YaPEIM ini bertujuan meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar secara fizikal dan spiritual melalui penyediaan kediaman yang lebih kondusif serta penekanan kerohanian/kesedaran sivik, sokongan pendidikan anak dan penjanaan pendapatan melalui perniagaan kepada isi rumah supaya pembangunan seimbang dapat dikecapi.

Dalam masa sama bagi menzahirkan jalinan kolaborasi antara agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN), Agensi Mengurus Zakat (AMZ), Syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan individu perseorangan yang berpotensi dalam melaksanakan program yang melibatkan peningkatan taraf dan kualiti hidup kumpulan sasar.

Hingga kini YaPEIM telah mempunyai 47 projek MyHAUS di seluruh negara termasuk jumlah pembinaan yang sudah disiapkan, dalam pembinaan, pra pembinaan dan proses pemilihan calon dengan keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.8 juta.