MELAKA 26 Dis 19 – NASIB menimpa dua keluarga yang serba kekurangan telah mendapat perhatian Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang tampil menyerahkan sumbangan tunai berjumlah RM28,800 secara keseluruhan.
Bagi Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan, pendekatan berkebajikan dilaksanakan itu adalah antara fokus membela nasib ahli keluarga mangsa, khususnya anak-anak yang kehilangan tempat bergantung hidup.
Beliau berkata, inisiatif bantuan melalui Program Sinar Kasih itu antara usaha proaktif oleh YaPEIM membantu golongan amat memerlukan terutama anak-anak yang kematian ketua keluarga akibat musibah, sekaligus memberi sinar baharu kepada mereka untuk meneruskan hidup.
“Sumbangan tunai kebajikan Sinar Kasih YaPEIM di Melaka menyaksikan dua keluarga menerima bantuan keseluruhan kali ini bernilai RM28,800; iaitu Nur Izzani Alias, ibu tunggal dua anak yang kehilangan suami, Allahyarham Azizol Mohd. Jani akibat kemalangan, telah menerima RM4,800.
“Manakala isteri Allahyarham Ab. Rahman Mat, Mazni Tamby Chek dengan lima orang anaknya layak menerima tunai RM24,000,” katanya semasa serahan bantuan Program Sinar Kasih YaPEIM di Masjid Tanah, di sini.
Dalam pada itu, secara keseluruhannya sehingga November 2019, Program Sinar Kasih YaPEIM mencatatkan lebih RM8 juta telah diagih dengan memanfaatkan 736 keluarga di seluruh Malaysia, meliputi 2,156 orang kanak-kanak.
Menurut Parihah, antara objektif utama program adalah menyantuni keperluan asas kanak-kanak terbabit meliputi aspek kebajikan dan pendidikan, melalui tindakan pantas YaPEIM hasil pelaporan media dan maklumat awam yang diterima.
“YaPEIM sebagai agensi peneraju amal jariah dan kebajikan komited meringankan beban keluarga mangsa dalam memenuhi keperluan anak-anak terbabit terutama pada peringkat awal musibah berlaku,” ujarnya.
Selain itu inisiatif dilaksanakan YaPEIM bertujuan bagi melengkapi usaha pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan yang berkaitan kemasyarakatan dan hal ehwal keluarga dalam menyantuni rakyat serba memerlukan di akar umbi.