QASEH SKUAD YaPEIM Santuni Warga Emas dan OKU

HULU LANGAT, 24 JULAI 2020 – YAYASAN Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini mengadakan Program Inspirasi Sentuhan Qaseh menyantuni warga emas, Puan Robakya Bt Abdul Majid, 79, yang menjaga satu- satunya anak tunggal beliau iaitu Abdul Yahziri Bin Abdul Aziz yang terlantar sakit.

Puan Robakya dan Abdul Yahziri sekarang mendiami rumah yang cukup daif dan uzur. Rumah tersebut dibina di atas tanah rizab yang berisiko banjir kerana berada di laluan air.

Program yang digerakkan oleh Qaseh Skuad dan Kelab Sukan, Sosial dan Kebajikan YaPEIM (KeSSKY) ini disertai lebih 70 orang sukarelawan YaPEIM yang terdiri dari Pegawai dan Staf YaPEIM bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun YaPEIM ke 36

Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas seterusnya para sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah membersihkan kawasan rumah, mengecat rumah serta mengemas ruang dalaman rumah. Beberapa peralatan elektrik dan perabot turut disumbangkan oleh YaPEIM.

Selain dari rumah Pn Robakya, Madrasah Assadiah yang terletak di kawasan berhampiran turut dibersihkan dan dicat. Menurut Ust Rosli, yang bertugas sebagai mudir di Madrasah As Sadiah, terdapat 24 orang murid yang mendapat pengajian di madrasah ini.

Turut dilaksanakan ialah serahan Sumbangan Foodbank YaPEIM kepada kawasan kejiranan di sekitar rumah Pn Robakya. Sejumlah 10 buah keluarga disantuni dengan serahan barangan keperluan asas yang disampaikan oleh Pn Parihah Hasan, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM.

Aktiviti gotong royong dan kerja-kerja pembersihan selesai dalam jam 1 petang.

Qaseh Skuad dan para sukarelawan YaPEIM merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang YaPEIM yang telah menyumbang kepada Tabung Amanah YaPEIM.