Pelajar puji modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM, bantu dalam ulang kaji

Oleh : Azim Fitri Abd Aziz.

Modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 dilihat mampu membantu pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada kali ini.

Perkara itu diakui pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, Adam Azamin Hairul Hisam yang menganggap modul Bahasa Melayu dan Sejarah diberikan YaPEIM membantunya dalam mengulang kaji dua subjek berkenaan.

Adam Azamin yang bakal menduduki peperiksaan SPM 2022 mengakui modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM membantunya dalam mengulangkaji pelajaran – Foto Ridzuan Abas

Katanya, beliau sudah dua bulan menggunakan modul itu termasuk ketika membuat latihan ulang kaji sebelum peperiksaan percubaan SPM.

“Saya rasa modul ini bagus sebab ada beberapa soalan yang hampir sama keluar pada peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi kaunselor.

Adam Azamin memberitahu dia meluangkan masa sekurangnya empat jam sehari termasuk menggunakan modul diedarkan YaPEIM untuk belajar di rumah.

Anak sulung dari tiga beradik itu turut mensasarkan 5A dalam peperiksaan SPM kali ini sekali gus dapat mengharumkan nama sekolahnya yang terletak di daerah Sabak Bernam.

Sebahagian guru dan pelajar SMK Bagan Terap bergambar selepas sesi penyerahan modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 baru-baru ini – Foto Ridzuan Abas

Terdahulu pada Jumaat lalu, YaPEIM telah mengedarkan 40 modul pembelajaran berkenaan kepada pihak SMK Bagan Terap yang mampu memanfaatkan 134 calon SPM 2022 sekolah itu.

Modul disampaikan kepada Encik Iskandar Muriani, Pengetua SMK Bagan Terap yang menzahirkan penghargaan kepada YaPEIM dan yakin modul disumbangkan mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajarnya.

Encik Iskandar Muriani yakin modul Inspirasi Pendidikan YaPEIM 2022 mampu memberi manfaat kepada pelajar-pelajarnya terutama calon SPM 2022 – Foto Ridzuan Abas