Kedaifan Ibu Tunggal Raih Perhatian YaPEIM

Menelusuri lorong-lorong kecil dan gelap di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur mencipta persepsi mereka yang lalu lalang di kawasan berkenaan akan kehadiran Skuad Qaseh Kami YaPEIM ke kawasan itu.

Manakan tidak kawasan yang begitu terkenal dengan pelbagai masalah sosial seperti dadah dan pelacuran diterjah Skuad Qaseh Kami Pusat Pentadbiran YaPEIM Wilayah atas nama kemanusiaan bagi bertemu dan melihat sendiri keadaan ibu tunggal Norazahalena Hassan yang tinggal dalam serba kedaifan.

Kehadiran kami ini juga hasil pendedahan yang dibuat wartawan Kosmo! yang sebelum ini merungkai kisah wanita berusia 44 tahun itu terpaksa mengemis sejak tiga tahun lalu bersama anak lelakinya selepas kematian suami tercinta.

Melangkah masuk ke bilik kecil di tingkat dua sebuah bangunan kedai di kawasan Lorong Chow Kit itu amat meruntun jiwa kami yang tidak pernah membayangkan bilik sekecil itu dijadikan kediaman buat Norazahalena berteduh daripada hujan dan panas setiap hari.

Kata wanita itu, bilik itu disewanya dengan bayaran RM25 sehari dan dibayar melalui hasil mengemis di sebuah stesen minyak di Jalan Chow Kit.

“Selepas suami saya meninggal akibat kemalangan pada 2019 saya hilang tempat bergantung. Demi memastikan anak lelaki saya yang berusia empat tahun cukup makan dan tempat tidur saya terpaksa meminta sedekah,” katanya yang turut mengidap penyakit asma kronik.

Bagaimanapun jiwa lembut seorang ibu yang ada di dalam dirinya kini diuji selepas anak kesayangannya itu kini dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat sementara waktu.

Ketika menerima sumbangan daripada pihak YaPEIM berupa bantuan tunai berjumlah RM500 dan barangan foodbank, Norazahalena tidak dapat menyekat air matanya daripada tumpah kerana terharu ada pihak yang ingin membantunya.

Norazahalena memberitahu, dia kini sedang berusaha bekerja dan mencari pendapatan tetap sekali gus membolehkan dia mengambil semula anaknya daripada jagaan JKM dan membesarkan anaknya itu di kawasan yang lebih sesuai.