Inspirasi Qaseh Kami : YaPEIM menyantuni penerima sumbangan Inspirasi Prihatin & agihan sumbangan dryfood berserta pek daging segar.

Beluran, 08 November : Selepas menempuh perjalanan selama 6 jam melalui jalan darat menaiki kereta dan 1 jam 30 minit perjalanan di sungai dan laut menaiki bot akhirnya penyelaras Komuniti YaPEIM Sabah tiba di Pulau Jambongan yang terletak di dalam daerah Beluran utk menyerahkan sumbangan berupa 300 set dryfood dan 300 pek daging segar, baru-baru ini.

Edisi kali ini dijayakan dengan kerjasama rakan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Madrasah Darus Sunnah Pulau Jambongan (MADS) bagi mengenalpasti penerima sumbangan bagi Program Foodbank 3.0 & Program Inspirasi Prihatin. Antara kampung yg terlibat ialah Kg Bahanan, Kg Bahagu, Kg Jambongan Hujung, Kg Limau-Limau dan Kg Malalin. Turut bersama bagi penyerahan sumbangan, Ustaz Berry T Marcos, wakil PPD dan Norazam Hashimuddin, Pengasas MADS.

Setelah selesai pengagihan sumbangan Foodbank kpd penduduk kampung di sekitar Pulau Jambongan, Skuad Qaseh Kami & team yang bekerjasama bergerak ke rumah-rumah penerima sumbangan untuk program Inspirasi Prihatin.

Kunjungan pertama kami ke kediaman Pn Harsum Binti Barjahun. Beliau merupakan ibu tunggal sejak 10 tahun yang lalu. Arwah suami beliau bekas pembuat parang dan juga nelayan, mengikut temu ramah bersama isterinya, arwah suami sgt rajin sehingga membuat apa sahaja pekerjaan utk mendapatkan pendapatan sampingan demi menyara keluarga. Hasil perkahwinan Pn Harsum dan arwah suaminya, mereka dikurniakan 5 orang cahaya mata dan lagi meluluhkan hati kami, 3 daripada anak beliau merupakan golongan orang kurang upaya (OKU) manakala seorang melanjutkan pelajaran di UMS dan seorang pelajar tingkatan 4.

Keluarga ini hanya mengharapkan ibu mereka, Pn Harsum yang mencari siput di mana waktu air laut surut yang waktunya hanya seminggu dalam sebulan. Mengikut Pn Harsum, pendapatan kutip siput hanya dalam RM20 sehari. Selain itu, mereka hanya bergantung juga dengan bantuan keluarga dan jiran tertangga.

Kunjungan kedua kami ke kediaman En Sirupi Bin Asmad, penderita strok sejak setahun yang lepas dan sedang dalam pemulihan. Kami dimaklumkan bahawa En Sirupi dan anak keduanya yang mempunyai ketumbuhan di leher terpaksa berulang alik ke hospital setiap bulan, anggaran kos untuk ke hospital sahaja lebih kurang RM1,500 setiap bulan. Beliau mempunyai 6 orang anak yg berumur di antara 4 hingga 12 tahun dan ibu bapa En Sirupi juga tinggal bersama mereka. Kesan daripada sakit yang En Sirupi hadapi, beliau tidak dapat bekerja dan hanya mengharapkan isteri beliau yg menjual kuih-muih dan bantuan kebajikan RM800 sebulan.

Kunjungan kami yang ketiga ke kediaman En Utoh Bin Sahid. Sejak tiga tahun lepas, beliau mengalami sakit teruk di bahagian lutut menyebabkan beliau tidak boleh berjalan dan hanya duduk & baring sahaja. Beliau hanya mengesot utk bergerak. Isteri beliau yg sebelumnya bekerja di kedai terpaksa berhenti kerja kerana menjaga suaminya dan menjaga kebajikan anak-anak mereka di rumah. Kini keluarga ini hanya mengharapkan bantuan dari pihak kerajaan dan ehsan dari jiran tetangga.

Seterusnya, Skuad Qaseh Kami berkunjung ke kediaman Pn Jamelia Binti Ungung, 86 tahun yang merupakan bujang tua dan hidup sebatang kara di rumah. Hasil temu ramah bersama beliau, sebelum ini beliau pernah merupakan penjual kuih yang cukup terkenal dan disukai oleh penduduk kg di sekitar situ. Akan tetapi, suatu hari beliau pernah hilang di hutan selama 5 hari ketika keluar mencari daun yg digunakan sebagai salah satu ramuan kuih beliau. Setelah kejadian itu, beliau mengalami trauma dan tidak lagi berani keluar ke hutan mahupun keluar jauh dari rumahnya lagi. Beliau kini hanya mengharapkan belas kasihan dari saudara mara yang tinggal berhampiran dan beliau sedang berusaha melawan perasaan takut beliau, dan ingin menjual kuih lagi seperti dahulunya.

Penerima yang kelima ialah Pn Kindeh Binti Muksin, 77 tahun, merupakan ibu tunggal. Perginya suami beliau untuk selama-lamanya diakibatkan oleh sakit kronik beberapa tahun yg lalu menyebabkan beliau dan anak-anak hilang tempat bergantung. Kini anaknya yang menggantikan tempat tunggak utama mereka untuk menyara keluarga mereka. Anaknya bekerja sebagai nelayan dan hanya mengharapkan hasil laut untuk mendapatkan sesuap nasi utk ibunya.

Kelima-lima keluarga ini menerima sumbangan dibawah Program Inspirasi Prihatin berupa wang ringgit RM500, 1 set dry food dan 1 pek daging segar setiap penerima.

Program Inspirasi Qaseh kami – Inspirasi Prihatin YaPEIM ini menyasarkan penerima manfaat daripada golongan asnaf, keluarga miskin atau miskin tegar, kumpulan B40, golongan rentan, keluarga mangsa bencana dan mereka yang terkesan dengan pandemik.

Pihak YaPEIM merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Skim Potongan Gaji YaPEIM yang telah menyumbang kepada Tabung Amanah YaPEIM.

Sumbangan anda telah memberi sinar harapan kepada mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup mendepani ujian dan musibah yang mendatang.

Bantulah kami dalam memberikan maklumat berkaitan mereka yang memerlukan bantuan.

Untuk sumbangan ke Tabung YaPEIM boleh dibuat melalui :-

Bank Islam : 14023010000082 (Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YaPEIM)

Maybank : 564016103182 (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)

BSN : 1410029864503006 (Tabung Kebajikan Pelajaran YaPEIM Skim Pembangunan YaPEIM)

Sumbangan Ikhlas Tuan dan Puan layak mendapat Pengecualian Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967