HULU LANGAT, 24 Januari 2022 : Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu perumpaan sesuai menggambarkan keadaan terkini Mohammad Harun, 62, selepas mata pencariannya sebagai pemandu teksi selama 27 tahun terputus akibat pandemik Covid-19.
Lebih mendukacitakan, rumahnya yang terletak di Kampung Sungai Serai Batu 14, Hulu Langat, di sini, turut dilanda musibah banjir besar pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun beliau boleh menarik nafas lega apabila menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan elektrik bernilai RM1,000 dari YaPEIM.
Beliau yang tinggal bersama isteri, tiga orang anaknya, serta ibu mentua yang uzur, tidak menyangka air banjir naik dengan begitu cepat dalam kejadian itu.
“Banyak kerosakan harta benda dan peralatan musnah akibat banjir yang melanda. Tetapi saya bersyukur, semua ahli keluarga saya selamat,” katanya.
Beliau yang kini hanya mengharapkan pendapatan secara sambilan sebagai pemandu e-hailing bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hari ini dan akan berusaha keras bagi menyara keluarganya.
“Alhamdulillah, dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan saya sekeluarga” katanya.
Terdahulu, YaPEIM dan PNB meneruskan misi bantuan pasca banjir bagi menyantuni mangsa banjir yang terkesan.