Ar Rahnu YaPEIM Akses, YaPEIM Gold Akses Beri Pilihan Kepada Masyarakat Muar

Muar, 25 Mei 2022 – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Hj Idris Hj Ahmad memuji usaha yang dilakukan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam melebarkan sayap perniagaan dan teras sosioekonominya.

Ia adalah hasil pembukaan Ar Rahnu YaPEIM Akses dan YaPEIM Gold Akses secara rasmi di daerah Muar, Johor.

Pembukaan cawangan Ar Rahnu YaPEIM Akses ini menjadikan kini sebanyak 213 buah cawangan termasuk sembilan buah Ar Rahnu YaPEIM Akses (Mobile) di seluruh negara, sementara cawangan kelima buat YaPEIM Gold Akses.

Datuk Hj Idris berkata, pembukaan cawangan terbaru di Muar ini bakal menjadi penghubung kepada penduduk setempat khususnya di daerah Muar bagi mendapatkan perkhidmatan seperti skim mikro kredit Ar Rahnu YaPEIM, penjualan emas terpakai serta pembelian barang kemas iaitu produk keluaran YaPEIM Gold dengan harga yang kompetitif.

Majlis perasmian yang dirasmikan sendiri Datuk Hj Idris turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Hj. Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pengerusi Lembaga Pengarah YGSB, Prof Dr Mohamad Akram Laldin dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Tuan Haji Awang @ Musran Tawil.

Ar Rahnu YaPEIM yang telah beroperasi selama 22 tahun bukan hanya menawarkan pinjaman mikro kredit sahaja malah turut menawarkan produk dan perkhidmatan lain seperti Akaun Emas YaPEIM (Akaun SERY), Khidmat Pembelian Emas (KPE), Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TAQY), Takaful Motor ETIQA, menjadi Ejen Bank Berdaftar (EBB) di beberapa cawangan terpilih dan perkhidmatan membayar zakat.

Sejak Januari 2000 sehingga April 2022 Ar Rahnu YaPEIM mempunyai jumlah penggadai keseluruhan sebanyak 846,844 orang dengan lebih 93 peratus adalah penggadai berbangsa Melayu. Manakala sehingga 31 Mac 2022 laporan prestasi Ar Rahnu YaPEIM menunjukkan pembiayaan berjumlah RM12.9 bilion direkodkan sementara nilai marhun berjumlah RM19.9 bilion.