Inspirasi Qaseh Kami : Ucapan Terima Kasih Tanda Syukur Terima Sumbangan

Seberang Perai Utara, 30 Julai : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 menyebabkan kebanyakan masyarakat terjejas sumber pendapatan ekoran banyak sektor perniagaan, perindustrian dan lain-lain lagi terpaksa ditutup atau dihadkan aktiviti.

Prihatin dengan situasi ini, YaPEIM melalui Squad Qaseh YaPEIM Utara berusaha menyantuni mereka yang ditimpa musibah dengan menyalurkan sedikit sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian berjumlah RM 2,500.00.

Penerima pertama, Encik Nor Rahim Bin Hamid @ Ismail mempunyai masalah kesihatan (strok di sebelah kanan) dan juga patah kaki disebabkan kemalangan. Isterinya juga tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga suaminya sepenuh masa.

Pasangan ini juga menumpang tinggal dirumah ibu mereka. Beliau menzahirkan ribuan terima kasih di atas segala sumbangan yang diberikan.

Untuk penerima kedua pula, Puan Azliza Binti Saad, 52, merupakan seorang ibu tunggal kepada dua orang anak. Puan Azliza tidak dapat bekerja seperti sediakala kerana mengalami penyakit lumpuh yang menyebabkan beliau tidak dapat bangun dan bergerak tanpa bantuan seperti biasa.

Beliau juga hanya menggunakan lampin pakai buang untuk membuang air kecil dan besar. Anaknya Harish mengucapkan terima kasih diatas sumbangan ini. Segala usaha yang dilakukan dalam membantu kami sekeluarga amatlah kami hargai.

Penerima ketiga, Encik Nur Shahrizal Bin Abdul Rahman, 38, menghidap penyakit ‘minor stroke’ disebelah kiri. Beliau telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah melakukan pembedahan untuk membuang darah beku di kepala.

Isterinya yang bekerja di Syarikat Ferry Pulau Pinang hanya mendapat separuh gaji kerana syarikat tersebut terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu disebabkan PKP. Beliau dan isterinya mengucapkan terima kasih tanda kesyukuran diatas sumbangan ini serta mendoakan kesejahteraan bagi para penyumbang YaPEIM.

Untuk penerima keempat, Puan Norehan Binti Othman, 52, yang menghidap penyakit kanser rahim sejak tahun 2013 hingga kini. Beliau tidak dapat bergerak dan berjalan seperti biasa kerana tulang telah mereput disebabkan kuman kanser.

Segala urusan Puan Norehan dibantu oleh ibunya yang juga seorang ibu tunggal dan warga emas Beliau bersyukur diatas sumbangan yang disampaikan oleh pihak YaPEIM, dengan sumbangan ini dapatlah beliau membeli keperluan harian buat dirinya seperti lampin pakai buang.

Penerima kelima pula, En Mohd Zairuddin Bin Abdul Aziz, 40 yang menghidap penyakit kanser lidah. Beliau tidak dapat bekerja disebabkan penyakit tersebut kerana hanya boleh makan melalui tiub di perut serta tidak boleh melakukan kerja yang berat. En Mohd Zairuddin juga telah melalukan pembedahan membuang lidah pada tahun 2008.

Isterinya juga tidak bekerja kerana susah untuk mendapat pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Pasangan ini juga mempunyai seorang anak berumur 12 tahun dan menumpang tinggal di rumah milik abang ipar bersama ibunya. Dengan sumbangan ini membolehkan beliau membeli serta menambah sedikit sebanyak keperluan keluarga.

YaPEIM menzahirkan ucapan terima kasih kepada individu yang terlibat khususnya para penyumbang Tabung Amanah YaPEIM yang bersama membantu masyarakat yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19.

Sumbangan anda sangat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Kami hanya perantara dalam menyampaikan amanah anda.

Untuk sumbangan ke Tabung YaPEIM boleh dibuat melalui:

BIMB :14023010000082 (Tabung Kebajikan Dan Pelajaran YaPEIM)

MBB : 564016103182 (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia)

BSN : 1410029864503006 (Tabung Kebajikan Pelajaran YPEIM Skim Pembangunan YPEIM)

Sumbangan Ikhlas Tuan dan Puan layak mendapat Pengecualian Cukai Pendapatan dibawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967