Empat Keluarga Asnaf Dibantu

KINTA, 15 Ogos : Empat keluarga disantuni Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dalam Program Inspirasi Prihatin YaPEIM, semalam.

Penerima pertama, Noorini Nan, 73, merupakan ibu tunggal yang telah ditinggalkan suaminya dan hidup secara daif. Beliau tinggal bersama empat orang anaknya yang mempunyai masalah mental.

Beliau tiada punca pendapatan dan hanya mengharapkan bantuan dari masyarakat sekeliling selain mengharapkan pendapatan dari anak sulungya yang berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan.

Beliau mengucapkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak YaPEIM atas sumbangan yang diberikan.

Bagi penerima kedua, Shahabudin Majid, 69, merupakan pesara pra sekolah dan mempunyai tiga orang anak. Punca pendapatannya terjejas sejak 10 tahun lalu apabila beliau disahkan menghidap penyakit saraf.

Kehidupannya semakin sukar apabila hanya terlantar sakit di rumah serta tidak boleh berjalan. Beliau tidak berdaya melakukan pekerjaan dan bergantung harap kepada isterinya.

Penerima ketiga, Hazaruddin Zainuddin, 66, lumpuh seluruh badan sejak lima tahun lalu dan tiada upaya untuk menguruskan kehidupannya sendiri. Beliau yang merupakan pesara TNB mempunyai tiga orang anak dan hanya mengharapkan sumber kewangan dari anak-anak bagi menampung kehidupannya sekeluarga.

Penerima terakhir, Mariam Man Dawi, 79, merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai enam orang anak. Sejak kematian suaminya, beliau menetap bersama-sama anaknya. Kehidupannya semakin uzur apabila terlantar sakit akibat sakit tua.

Sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM500 dan Foodbank YaPEIM ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Romil Shamsudin dan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan.

Program Inspirasi Prihatin YaPEIM merupakan program baharu yang telah diperkenalkan oleh YaPEIM dalam menyediakan sumbangan bantuan jangka pendek secara one off untuk diagihkan kepada keluarga miskin yang dikenalpasti.