Telegram, Cmasa.my bantu lonjak jualan YaPEIM Gold Sdn Bhd

Premis perniagaan barangan kemas YaPEIM Gold Sdn Bhd terus ke hadapan dengan idea dan modul perniagaan yang segar seiring dengan hasrat pengurusan untuk menjadi pelopor kepada industri penjualan emas di negara ini.

Selaras dengan hasrat itu, YaPEIM Gold Sdn Bhd sudah memperkenalkan beberapa kaedah penjualan barangan kemas yang lebih mesra pelanggan selain operasi jualan di cawangan outlet di tingkat 3, kompleks beli belah NU Sentral, Kuala Lumpur.

Antara kaedah yang diperkenalkan itu ialah dengan mewujudkan sistem jualan menerusi aplikasi Telegram yang mana lebih memudahkan pelanggan untuk berkomunikasi dengan kakitangan YaPEIM Gold sebelum membuat pembelian.

Pengarah Urusan YaPEIM Gold Sdn Bhd, Zahrin Ibrahim berkata, aplikasi Telegram yang diwujudkan itu bertujuan merancakkan penjualan produk-produk milik YaPEIM Gold Sdn Bhd menggunakan cabang platform teknologi maklumat.

Katanya, pelanggan yang berminat boleh membuat carian ‘YaPEIM Gold (Official)’ di Telegram dan menyertai rangkaian kumpulan aplikasi itu.

Jelasnya, lebih 4,000 pelanggan sudah berada di dalam kumpulan Telegram berkenaan dengan beberapa pegawai khidmat pelanggan dilantik untuk menyelia sebarang pertanyaan berkaitan perniagaan dijalankan.

“Di aplikasi Telegram, kita ada promosikan produk-produk kita secara maklumat informatif dan grafik bergambar serta ada pegawai jualan yang akan menjawab sebarang pertanyaan pelanggan.

“Ia bertujuan meningkatkan lagi jualan produk YaPEIM Gold Sdn Bhd selain menjadikan aplikasi ini sebagai cabang pemasaran baharu,” katanya pada sesi bual bicara Bersama Tetamu YaPEIM, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain cawangan sedia ada di kompleks beli belah NU Sentral dan 212 cawangan Ar Rahnu YaPEIM seluruh negara, YaPEIM Gold Sdn Bhd turut melebarkan strategi pemasarannya menerusi platform e-dagang CMASA.my.

Menurutnya, platform atas talian itu juga membantu dalam meningkatkan jualan produk serta menarik minat masyarakat di luar sana untuk memiliki emas idaman.

Zahrin berkata, YaPEIM Gold Sdn Bhd yang beroperasi sejak 2011 dan mempunyai kilang di Bangi, Selangor menawarkan produk barangan kemas seperti rantai, gelang, cincin serta produk bullion (wafer emas, bar emas mengikut dan syiling) pada berat tertentu dengan mutu 999 (triple nine).

“Kita ada menjual produk bullion dengan berat serendah 0.25 gram (g) bertujuan menggalakkan mereka yang kekurangan modal untuk mengumpul emas. Selain itu kita juga ada menjual pada berat 0.5g, 1g, 5g dan 10g dengan harga berpatutan.

“Dalam masa sama kita juga ada mengeluarkan wafer emas edisi khas pada keluaran tertentu termasuk yang terbaru pada edisi kemerdekaan baru-baru ini,” katanya yang memaklumkan sebanyak 4000 wafer emas edisi kemerdekaan dikeluarkan habis dijual.

Menurutnya lagi, pelanggan boleh membuat tempahan awal atau pre-order terlebih dahulu barangan kemas yang diinginkan sebelum membuat pembayaran sebaik barangan kemas disiapkan.

Katanya, barangan kemas itu akan dihantar dalam tempoh tiga hari sebaik pembayaran dibuat.

Zahrin berkata, YaPEIM Gold Sdn Bhd juga sedia membuat rekaan mengikut kehendak pelanggan dan mengeluarkan rekaan eksklusif buat pengumpul emas setia yang mahukan sesuatu rekaan mengikut cita rasa dan idea mereka sendiri.

“Selain menjual barangan kemas, YaPEIM Gold Sdn Bhd turut menawarkan perkhidmatan menguji barangan kemas di Pusat Pencerakinan Emas Tanpa Musnah (NDGAC) YaPEIM.

“NDGAC kita dilengkapi dengan teknologi pengujian tanpa musnah untuk membuat pengujian seperti mesin XRF serta mesin berteknologi tinggi yang lain.Selepas itu kita akan keluarkan laporan hasil proses ujian ketulenan yang sudah dijalankan.

“Dalam masa sama pihak kita turut menyediakan khidmat mencuci barangan kemas kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu katanya, antara objektif penubuhan YaPEIM Gold Sdn Bhd adalah untuk melaksanakan penjualan produk berlandaskan patuh syariah.

Beliau berkata, kewujudan entiti perniagaan itu bukan untuk bersaing dengan premis jualan barangan kemas sedia ada, sebaliknya menggalakkan masyarakat memiliki dan membeli emas dengan harga berpatutan.