Peniaga kecil syukur terima Foodbank YaPEIM selepas pendapatan terjejas

Shah Alam, 21 Oktober – Tiada kata dapat menggantikan keceriaan peniaga pasar malam, Sarimah Mohamed, 52, apabila menerima bantuan Foodbank YaPEIM 2.0 di Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Selangor, di Seksyen 19, di sini, hari ini.

Sarimah memberitahu bantuan yang diterimanya hari ini diibarat tiba tepat pada masanya selepas terjejas hampir 80 peratus pendapatan perniagaan pasar malam akibat pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Lembah Klang.

Bantuan Foodbank YaPEIM 2.0 hari ini disampaikan kepada 70 peniaga kecil di sekitar Meru dan Kapar, Selangor yang mana kesemua mereka menerima bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan lain-lain.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dan disaksikan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan serta barisan pengurusan YaPEIM.

Sementara itu, Sarimah berharap bantuan seumpama ini diteruskan dari semasa ke semasa kerana sebahagian besar peniaga kecil di Selangor amat terkesan dengan situasi yang dihadapi kini.

Beliau yang juga, Bendahari Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor cawangan Meru/Kapar berkata, ramai peniaga kecil sudah mencari alternatif untuk meneruskan kelangsungan perbelanjaan harian dengan meniaga secara dalam talian selain usaha lain dalam tempoh PKPB ini.