Pelancaran Gold Bar Edisi Khas Merdeka YaPEIM Tahun 2020

KUALA LUMPUR, 11 OGOS 2020 – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi YaPEIM Gold Sdn Bhd berbesar hati mengeluarkan 4,000 keping Gold Bar Edisi Khas Merdeka 2020 yang ke-63 tahun sempena sambutan kemerdekaan negara kali ini.

Kepingan Gold Bar edisi khas yang didatangkan dengan dua koleksi eksklusif seberat 1 gram dijual pada harga serendah RM320 bagi setiap satu dan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Outlet YaPEIM Gold, Kompleks Beli Belah NU Sentral, di sini.

YaPEIM Gold Sdn Bhd yang juga syarikat milik penuh YaPEIM terlibat dalam pengeluaran produk emas atas jenama YaPEIM Gold termasuk menghasilkan kepingan bar emas edisi khas ini yang merupakan perniagaan intensif berimpak besar dan patuh syariah.

Kepingan Gold Bar itu juga boleh ditempah secara terus di Outlet YaPEIM Gold, di Kompleks Beli Belah NU Sentral atau dapatkan secara atas talian di www.cmasa.my bermula hari ini.

Majlis pelancaran turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Hj Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan; Pengarah Urusan YaPEIM Gold Sdn Bhd, Zahrin Ibrahim dan barisan pengurusan institusi ini.

Untuk rekod YaPEIM Gold sebelum ini hadir dengan rekaan Gold Bar edisi khas petugas barisan hadapan COVID-19 dan dengan adanya Gold Bar Edisi Khas Merdeka 2020 bakal meneruskan kesinambungan daripada beberapa koleksi yang terdahulu.

Selain itu, YaPEIM Gold sendiri turut mempunyai nilai kompetitif dalam pasaran emas di Malaysia terutamanya berdasarkan kualiti produk yang dihasilkan selain harga yang ditawarkan berkonsepkan mampu milik. Dalam masa sama, produk YaPEIM GOLD terdiri dari bulion dan barangan kemas dengan pelbagai jenis mutu serta rekaan terkini dan eksklusif.