Pelajar memerlukan terima bantuan YaPEIM

Shah Alam, 15 September – Program Santuni Prihatin @Rewang Merdeka anjuran Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) yang julung kali diadakan ini menyaksikan menu berasaskan daging dengan 100 kilogram daging lembu segar disediakan untuk direwang yang telah disumbangkan oleh YaPEIM.

Selain itu, daging lembu segar dan barang keperluan harian juga dijual pada harga berpatutan kepada pengunjung khususnya warga kerja PSA di perkarangan Pusat Islam PSA.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Kembara Prihatin Jejak Merdeka anjuran PSA dengan kerjasama erat YaPEIM didahului dengan pelbagai aktiviti seperti serahan daging kepada pelajar di enam sekolah melibatkan 180 Pelajar dari sekolah Menengah Perempuan Kapar, SK Tanjung Keramat, SAM Sungai Haji Dorani, SK Sungai Haji Dorani, SK Sungai Limau dan SK Parit selain ekspedisi berbasikal mengelilingi kampung Sungai Haji Dorani, Selangor.

Program ini mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam.

Majlis keraian yang dilakukan turut menyantuni golongan B40 dan para pelajar PSA dengan satu jamuan makan diadakan selepas selesai sesi rewang.

Inisiatif YaPEIM memberi daging segar adalah sebahagian daripada proses membentuk masyarakat yang cakna makanan seimbang. Malah dengan pemilihan daging yang mengandungi nutrisi yang tinggi mampu mempercepatkan proses tumbesaran dan baikpulih sel dalam badan.

Program Foodbank YaPEIM 2.0 Daging Segar ini diharap dapat mengimbangi pola pemakanan masyarakat agar dengannya dapat memberi nutrisi seimbang bagi membekalkan tenaga yang mencukupi menuju kehidupan lebih sihat.

DI sebelah malam pula telah diadakan serahan Inspirasi Musaadah berupa wang tunai sempena majlis penutup Bulan Kemerdekaan PSA.

Sumbangan wang tunai sebanyak RM200 telah diserahkan kepada lima orang pelajar Asnaf dan B40 yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan diiringi Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Dr Mohd Zahari dan Ketua Pengarah Politeknik Malaysia, TS. Dr. Mohammad Naim Bin Yaakub. Majlis juga turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Tuan Haji Izmi Bin Ismail.

Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban penerima.