Keluarga 9 beranak terharu dibantu MY H.A.U.S YaPEIM

Kota Bharu, 3 September – Tiada kata dapat menggantikan perasaan gembira dan terharu Rashidah Semail, 48, apabila menjadi insan bertuah terpilih dalam Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hari ini.

Wajah ceria jelas terpancar di wajah ibu tunggal anak lapan itu apabila kediamannya di Kampung Parang Puting, Batu 6 Setengah, Pengkalan Chepa, di sini dikunjungi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Rashidah yang mengambil upah menjahit secara separuh masa untuk menanggung keluarganya selepas kematian suami pada Mac lalu bersyukur apabila rumahnya yang uzur akan dibaik pulih dan disiapkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Datuk Dr Zulkifli yang tiba ke rumah Rashidah kira-kira jam 4.30 petang turut menyampaikan ucapan aluan sebelum menandatangani plak sekali gus melancarkan Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah YaPEIM.

Untuk rekod Program Inspirasiku MY H.A.U.S di bawah kelolaan YaPEIM ini menyediakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi melaksanakan tujuh teras sokongan merangkumi tempat tinggal, kelestarian kehidupan, latihan kemahiran, transformasi kerjaya, inspirasi pendidikan anak-anak, pembangunan sahsiah diri dan apresiasi.

Program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Wakaf Malaysia, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), TV AlHijrah, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Alliance Islamic Bank dan rakan-rakan strategik lain.

Turut hadir, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR), Roslan Said.