Foodbank YaPEIM bertandang ke Surau Wildan

Petaling Jaya, 17 Oktober – Ahli kariah Surau Wildan Subang Perdana menarik nafas lega dan bersyukur terima bantuan Foodbank YaPEIM.

“Usaha yang dilakukan YaPEIM menerusi sumbangan seumpama ini sangat bertepatan di kala negara sedang dilanda pandemik Covid-19.

“Semoga usaha murni ini dilaksanakan secara berterusan sekaligus dapat membantu lebih ramai masyarakat, ” kata Pengerusi Kariah surau berkenaan, Nor Hazimi Ajis, 40.

Untuk makluman, pencarian penerima bagi program serahan kali ini dilaksanakan menerusi Pejabat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) Selangor menerusi pengurusnya, Muhammad Fazli Suhailin serta ahli jawatankuasa bertugas mencakupi kerjasama ahli jemaah kariah Surau Wildan.

Sumbangan disempurnakan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan dan majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Romil Shamsuddin serta pengurusan tertinggi YaPEIM.