YGSB Sasar Jualan RM500,000 Sebulan Menerusi YaPEIM Gold Akses

Kuala Lumpur, 11 Januari: YaPEIM Gold Sdn Bhd (YGSB) mensasarkan sekurang-kurangnya RM500,000 sebulan mampu dicapai YaPEIM Gold Akses menerusi jualan produk emas selepas ia dilancarkan secara rasmi di Ar Rahnu YaPEIM Cawangan Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah YGSB, Prof Dr Mohamad Akram Laldin berkata, pihaknya meletakkan keyakinan dan harapan yang cukup tinggi untuk YaPEIM Gold Akses berkembang maju dan berdaya saing dengan premis barangan kemas yang ada di negara ini.

“Insya-Allah saya yakin YaPEIM Gold Akses mampu mencapai objektif penubuhannya serta memenangi hati penggemar barangan kemas di luar sana dengan produk yang bermutu serta tampil dengan rekaan eksklusif.

“Di pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan YaPEIM kami turut mensasarkan untuk membuka dua lagi cawangan YaPEIM Gold Akses setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi YaPEIM Gold Akses yang dilancarkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, YBhg Dato’ Haji Mohd Redza Abdul Wahid.

Turut hadir,  Lembaga Pengarah YGSB, YM Raja Azura Mahayuddin; Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan pengurusan utama YaPEIM.

YaPEIM Gold Akses merupakan kiosk perniagaan barangan kemas yang memainkan fungsi sama seperti cawangan YGSB di tingkat 3 kompleks beli belah NU Sentral, di sini, dengan menjual barangan kemas baru, premium prelove, bar emas serta menerima tempahan produk emas daripada pelanggan.

Pemilihan cawangan YGSB di Bandar Tun Razak ini dibuat kerana lokasinya yang strategik selain terletak berhampiran dengan cawangan YaPEIM Gold Sdn Bhd di ibu kota.

Ia juga bakal menjadi alternatif kepada orang ramai terutama pelanggan setia YGSB untuk datang ke cawangan Ar Rahnu YaPEIM Bandar Tun Razak bagi mendapatkan produk emas berkualiti seperti rantai, gelang, cincin serta produk bullion iaitu wafer emas, bar emas dan syiling emas.

Sementara itu, Prof Dr Mohamad Akram berkata, YaPEIM Gold Akses yang dirancang pembukaannya sejak tahun lalu bakal menjadi perintis buat YGSB membuka lebih banyak cawangannya pada masa hadapan sekali gus meningkatkan hasil jualan entiti perniagaan itu.

Katanya, selain itu YaPEIM juga telah memulakan satu inisiatif baru iaitu program khusus untuk membantu masyarakat menjana pendapatan melalui penjualan emas YaPEIM Gold, iaitu Program Duit Saku YaPEIM atau singkatannya Program Duit SaYa dimana masyarakat berpeluang menjual produk-produk bullion YGSB secara dalam talian di Digital Store YaPEIM tanpa sebarang modal.

Dalam masa sama, YaPEIM Gold Sdn Bhd turut mengambil kesempatan melancarkan bar emas dengan berat 20gram Fine Gold 999 dan tempahan akan dibuka hari ini secara preorder yang mana ia dijual pada harga istimewa iaitu RM5400 (Tertakluk pada perubahan harga emas semasa).