YaPEIM Ringan Beban Ibu Tunggal

Bota, 5 Ogos – Ketabahan ibu tunggal, Rapeah Zainal, 41, membesarkan tiga anaknya selepas kematian suami tercinta penuh ranjau apabila anak keduanya Nurul Amylia Kamarul Zaman, 16, menghidap gangguan tiroid dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Batu Gajah, Perak.

Dengan hanya mengharapkan gaji mengasuh kanak-kanak serta bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, beliau menitip rasa syukur dengan sumbangan Sinar Kasih YaPEIM melalui Tabung Amanah YaPEIM.

Rapeah memberitahu, sumbangan yang diserahkan menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, itu akan digunakannya sebaik mungkin terutama dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anaknya serta menampung kos rawatan bulanan Nurul Amylia.

Beliau yang tinggal di Kampung Air Mati, Batu Gajah, Perak tidak menyangka sumbangan itu akan diserahkan sendiri YB Menteri yang mana sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.

“Saya bersyukur sangat dengan sumbangan yang diterima lebih-lebih lagi disampaikan YB Menteri sendiri. Insya-Allah sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsikan dua beradik yatim, Muhammad Muzzaffar Ahmad Hakimi, 12, dan adiknya Muhammad Rayyan Miekail, 7, yang menerima sumbangan Sinar Kasih YaPEIM.

Mereka yang dijaga ibu saudara, di kawasan Felcra Nasaruddin Belia, Bota, selepas kehilangan ayah akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita-cita diimpikan.

Sumbangan berkenaan disampaikan YB Menteri sendiri serta dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Puan Parihah Hasan; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Tuan Haji Zabidi Nasan serta barisan pengurusan tertinggi YaPEIM.