YaPEIM Lahir Usahawan Berkualiti, Berdaya Saing

Usahawan didefinisikan sebagai individu yang mengusahakan sesuatu perniagaan serta sanggup menanggung risiko perniagaan yang diceburinya. Peranan usahawan amat besar dalam pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sosial sesebuah negara.

Banyak faktor menyebabkan seseorang itu memilih untuk menjadi usahawan sekali gus terbabit dalam dunia keusahawanan yang penuh mencabar, salah satunya adalah melihat perniagaan sebagai satu sumber rezeki serta memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

Kebanyakan mereka yang menceburi dunia keusahawanan pasti melalui jerih perih membangunkan perniagaan masing-masing hingga berada di tahap yang tertinggi, pastinya ada yang gagal dan berjaya.

Untuk menjadi usahawan berjaya banyak perkara yang perlu dititik beratkan seperti pengurusan kewangan yang betul, teknik pemasaran dan juga mengambil peluang yang wujud di persekitaran perniagaan.

Pastinya, sebelum menjadi usahawan yang berjaya ada dalam kalangan mereka yang sanggup bergadai harta benda, membuat pinjaman dengan institusi kewangan dan memajak harta demi memastikan perniagaan dapat dimulakan atau mengekalkan perniagaan sedia ada.

Sebagai sebuah institusi pembangunan masyarakat dan kewangan Islam, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tidak ketinggalam dalam memainkan peranan membantu usahawan Islam yang ada di negara ini.

Objektifnya tidak lain bagi meningkatkan pendapatan keluarga miskin dan termiskin dengan menjalankan projek ekonomi secara kecil-kecilan, melahirkan peniaga-peniaga kecil yang berdaya maju dan membantu ke arah pengwujudan usahawan baru.

Selain itu YaPEIM menerusi Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) turut mempunyai objektif untuk membangunkan pemikiran dan budaya masyarakat sebagai strategi jangka masa panjang untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi.

Setakat 30 November 2020, BPU YaPEIM merekodkan seramai 145,621 usahawan daripada 14 kluster keusahawanan yang berdaftar di bawah CMASA sementara sebanyak 850 usahawan aktif terbabit dengan platform pasaran atas talian CMASA.my.

Justeru dalam memastikan usahawan-usahawan baru dan sedia ada kekal berdaya saing, YaPEIM turut menyediakan pelbagai pakej pembangunan usahawan seperti bengkel memperkasa produk usahawan melalui  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meliputi beberapa aspek seperti pembungkusan dan pelabelan.

Tidak ketinggalan bengkel pendaftaran pensijilan halal bersama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), bengkel pendaftaran syarikat dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), bengkel pendaftaran bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyiPO) dan juga bengkel pemasaran produk dianjurkan YaPEIM.

Demi memastikan usahawan yang dibantu kekal berdaya saing, YaPEIM turut menyediakan pelan pembangunan usahawan dengan menyediakan pakej menerusi AR Rahnu YaPEIM bagi membantu menambah modal melalui pembiayaan kewangan.

Pelan lain yang sudah dirangka adalah memperkasa produk usahawan, latihan serta bimbingan secara digital dan pembekalan produk bagi membantu usahawan terbabit mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Segala pelaksanaan usaha ini sudah tentu mempunyai impak yang mana hingga kini YaPEIM telah berjaya membimbing 4926 usahawan melalui pelbagai bentuk kursus dan seminar bagi tempoh 2011 sehingga 2020.

Latihan dalam bentuk seminar dan bengkel yang digerakkan BPU YaPEIM ini sudah bermula pada 2011 yang mana ia memberi khidmat nasihat dan latihan sebagai sokongan kepada usahawan/ individu yang berhasrat memajukan diri dan keluarga.

Usaha yang dijalankan ini memberi penekanan kepada aspek ilmu perniagaan, pengurusan, pemasaran, peluang perniagaan, jaringan perniagaan sesama usahawan dan pensijilan halal.

Sudah tentu, segala inisiatif yang dilakukan YaPEIM memerlukan kerjasama yang baik daripada kumpulan usahawan untuk bekerja keras memajukan perusahaan masing-masing.