YaPEIM, Bank Islam meterai memorandum persefahaman

Putrajaya, 23 September – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) membabitkan beberapa kerjasama strategik yang lebih luas.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, YaPEIM berhasrat mengadakan kerjasama strategik dengan BIMB bagi meneroka peluang untuk memperluaskan jangkauan produk dan perkhidmatan kewangan Islam kepada masyarakat serta membina jaringan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada kedua pihak.

“Lima cawangan Ar Rahnu YaPEIM (ARY) telah dilantik sebagai Ejen Bank Berdaftar (EBB) bagi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dengan perkhidmatan perbankan asas iaitu penyimpanan (deposit), pengeluaran (withdrawal) dan tambah nilai prabayar.

“Buat masa sekarang cawangan kita yang dilantik sebagai EBB adalah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu ditandatangani Parihah mewakili YaPEIM dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed mewakili BIMB sambil disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pengerusi Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Haji Bakar.

Sementara itu, Parihah berkata, bagi hubungan sedia ada pihaknya akan memperkukuhkan kerjasama yang sudah terjalinan selain BIMB juga turut menunjukkan minat untuk memperluaskan perkhidmatan ini melalui cawangan ARY sebagai ejen EBB.

Beliau berkata, dalam masa sama melalui cawangan ARY kemudahan lain juga dapat diteroka bersama seterusnya membawa manfaat kepada golongan sasar serta kepada pegawai dan staf YaPEIM.

“Bagi memastikan ARY terus kukuh dan memberi kemudahan yang terbaik kepada pelanggan, pihak YaPEIM dan BIMB akan bersama mencari penyelesaian bagi penawaran kemudahan kewangan secara holistik,” katanya.

Katanya, kerjasama ini dijangka akan memberi lebih manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya bagi penawaran produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif kepada masyarakat dan penjanaan dana baharu termasuk aspek pendigitalan perkhidmatan.

Jelasnya, melalui kerjasama ini, penerokaan kerjasama bagi program-program sosioekonomi, kebajikan, program pembangunan komuniti dan tanggung jawab sosial korporat (CSR) serta program pembangunan usahawan dapat dilaksanakan.