Wafer Emas Asma ‘Ul Husna, Dinar Emas YaPEIM Gold mampu beri impak tinggi

Kuala Lumpur, 11 September – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyatakan keyakinan dengan produk Wafer Emas Edisi Asma ‘Ul Husna dan Dinar Emas 999.9 keluaran YaPEIM Gold yang mampu menarik minat orang ramai terutama masyarakat Islam untuk memiliki kedua-dua produk terbaharu ini.

Beliau berkata, apa dilakukan YaPEIM Gold kini yang juga institusi milik penuh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) adalah tindakan yang hebat dan satu usaha perniagaan yang cukup baik.

“Saya dimaklumkan wafer emas ini hasil kolaborasi hebat bersama pelukis tersohor tanah air YM Raja Azhar Raja Lop Idris. Saya yakin dengan kerjasama ini mampu mengangkat YaPEIM Gold dalam menjadi pelopor kepada perniagaan emas di negara kita.

“Saya berpendapat usaha-usaha kreatif ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa bukan sahaja untuk membantu melonjak perniagaan YaPEIM Gold itu sendiri malah membantu mengketengahkan idea dan usaha kreatif oleh penggiat seni tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran produk Dinar Emas 999.9 dan memperkenalkan Wafer Emas Edisi Asma ‘Ul Husna di Ibu Pejabat Koperasi YaPEIM Berhad (KYB) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan barisan pengurusan YaPEIM.

Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, kedua-dua produk ini bukan sahaja boleh dijadikan hobi kepada masyarakat malah mampu menjadi instrumen simpanan yang menguntungkan dalam keadaan yang cukup mencabar ketika ini.

Untuk rekod, kedua-dua produk ini boleh didapati di Outlet YaPEIM Gold di Kompleks Beli Belah NU Sentral, Kuala Lumpur, selain boleh dibeli secara atas talian menggunakan platform Avana melalui YaPEIM Digital Store.

Produk Dinar Emas YaPEIM Gold yang diperkenalkan ini juga dihasilkan dengan berat 4.25gram selain mempunyai diameter 25milimeter. Dinar Emas didatangkan secara eksklusif ini akan dijual pada harga pasaran RM1250 bagi setiap keping dan YaPEIM Gold juga akan menawarkan diskaun pengenalan sebanyak RM20 di mana ia boleh dibeli orang ramai pada harga RM1230 selama tiga hari atau 500 keluaran pertama.

Dalam masa sama koleksi wafer emas edisi zikir Asma ‘Ul Husna ini akan dikeluarkan secara berperingkat membabitkan 99 nama Asma ‘Ul Husna setiap bulan yang mana (Ar Rahman&Ar Rahim) menjadi pilihan pertama diterbitkan untuk edisi November.

Ia sudah ditempah dan dijual sejak 1 November lalu yang mana setiap kepingan dijual pada harga RM330 dan bergantung kepada harga emas semasa.