UMT, UniSZA terima Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) YaPEIM RM636,500

Kuala Terengganu, 30 Disember – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini masing-masing menerima bantuan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) YaPEIM berjumlah RM636,500.

Sumbangan disampaikan sendiri Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada dua universiti terbabit yang mana UMT menerima RM340,000 untuk diserahkan kepada 680 pelajar manakala RM296,500 disampaikan kepada UniSZA bagi diserahkan kepada 593 pelajar.

Bantuan Dana Inspirasiku khusus bagi membantu menyelesaikan pembayaran yuran mahasiswa dan mahasiswi daripada keluarga B40 yang memerlukan.

Serahan ‘mock cheques’ UMT dilakukan di studio al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud dan Dalam Talian Cisco Webex manakala untuk serahan di UniSZA di buat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), di sini, hari ini.

Majlis penyerahan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan wakil pengurusan YaPEIM.

Untuk rekod YaPEIM mensasarkan sehingga RM40 juta kutipan dana yang dijangka membantu hingga 40,000 pelajar dengan kadar bantuan sehingga RM500 bagi pelajar sekolah dan sehingga RM1,000 bagi seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

YaPEIM telah mengambil satu ketetapan iaitu yang pertama memperuntukan dana awal berjumlah RM1 juta daripada sumber Tabung Amanah YaPEIM.

Sehingga kini, YaPEIM telah menyantuni 52,745 keluarga (99,469 orang anak) dengan jumlah peruntukan RM6.85 juta bagi bantuan persekolahan manakala untuk bantuan IPT seramai 12,743 pelajar menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM6.37 juta.

Terima kasih kepada semua para penyumbang.