Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY) Terus Cakna Ummah

Ketika umat Islam di seluruh dunia berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, beberapa ibadah yang disyariatkan Allah SWT perlu dilaksana dalam keadaan penuh berhati-hati atau dengan kata lainnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan negara masing-masing.

Begitu juga dengan pelaksanaan ibadah qurban di Malaysia yang perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan seperti hanya dikendalikan 20 orang bagi penyembelihan seekor lembu dalam satu masa.

Mengambil kira situasi berkenaan, ia adalah yang pertama dilalui masyarakat di Malaysia apabila ibadah penyembelihan haiwan qurban dilakukan dalam norma baharu serta sambutan hari raya Aidiladha disambut sederhana.

Berbanding apa yang dilalui umat Islam di Malaysia pada ketika ini hanyalah sekelumit jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang dilakukan junjungan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail ‘Alaihumma salam dalam erti sebenar sebuah pengorbanan.

Biarpun berdepan dengan syarat dan SOP yang ketat pada tahun ini, ia tidak menghalang umat Islam di Malaysia untuk melaksanakan ibadah tersebut seterusnya mengagihkan daging qurban kepada mereka yang memerlukan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) tidak ketinggalan dalam menganjurkan ibadah qurban pada kali ini apabila ia menjadi tahun ke-13 YaPEIM melaksanakan Program Ibadah qurban yang mana pertama kali dianjurkan sejak 2007 sementara menjadi tahun ke-10 menerusi skim Tabung Ibadah Qurban YaPEIM (TaQY).

Syukur ke hadrat Illahi tahun ini sebanyak 297 haiwan qurban terdiri daripada 284 lembu dan 13 kambing dipilih oleh 264 peserta TaQY untuk disempurnakan ibadahnya bagi menzahirkan rasa kesyukuran terhadap pencipta mereka.

Daripada jumlah itu sebanyak 42 ekor adalah bagi tujuan wakalah qurban dan aqiqah; 100 ekor pembekalan (penjualan) dan 155 ekor merupakan lembu sumbangan.

Melihat kepada jumlah haiwan qurban yang meningkat berbanding tahun lalu menunjukkan kepentingan skim TaQY yang diasaskan YaPEIM pada 2010.

Kini objektifnya sudah menampakkan hasil apabila dapat membantu golongan yang ingin melaksanakan ibadah qurban melalui sistem tabungan bulanan.

Penubuhan TaQY tidak terhad kepada pegawai dan kakitangan YaPEIM sahaja apabila turut dibuka kepada masyarakat yang ingin menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ tabung ini dengan bayaran bulanan serendah RM10.

Bagi yang berkemampuan pula tidak menjadi masalah untuk mereka mencarum dengan jumlah yang lebih besar serta tidak terhad kepada jumlah bahagian qurban yang ingin didaftarkan.

TaQY yang bertujuan membantu umat Islam kurang berkemampuan di negara ini untuk berqurban juga menawarkan alternatif aqiqah kepada ahlinya, bagi yang berminat boleh mengunjungi cawangan Ar Rahnu berhampiran untuk mendaftar.

Selain daripada pengagihan daging qurban dan aqiqah, edisi kali ini juga menyediakan perkhidmatan menulang, memotong, meracik dan membungkus yang dilaksanakan di Pusat Pemprosesan Daging Koperasi Ibadah Qurban YaPEIM Berhad (KIQYB) yang terletak di Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Perkhidmatan yang disediakan sebagai menghormati dan mengikut seruan Kerajaan supaya penganjur mengikut SOP atau Tatacara melaksanakan qurban dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Malah perkhidmatan ini juga bertujuan untuk memberi alternatif dan nilai tambah kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah qurban pada tahun ini sekali gus menarik penyertaan peserta.

Dalam masa sama, YaPEIM turut mementingkan pelaksanaan yang professional, patuh kepada hukum syarak, berintegriti dalam pengagihan dan menitik beratkan soal kebersihan dalam mengendalikan haiwan qurban tersebut.

Langkah ini bersandarkan kepada garis-garis pensyariatan dalam pelaksanaan Ibadah qurban/aqiqah.

Firman Allah SWT (Al-Kautsar:2) “Maka dirikanlah solat kerana tuhanmu dan berqurbanlah”.

Menerusi Firman Allah SWT ini jelas mengingatkan hambanya mengenai ibadah qurban yang penting dalam kita memanjatkan kesyukuran kepada sang pencipta.

Sebagai hamba yang diamanahkan untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini juga umat Islam turut diajar mengenai tertib sembelihan qurban dan adab terhadap haiwan sembelihan.

Justeru pendekatan yang berhemah serta ihsan perlu diterapkan mereka yang menganjurkan ibadah qurban termasuk yang dilakukan YaPEIM sendiri saban tahun.

Tahun ini sebanyak 14 negeri terbabit dengan pelaksanaan ibadah qurban dengan melibatkan anggaran 243 lokasi yang dilaksanakan serentak dengan kerjasama pelbagai pihak rakan pelaksana YaPEIM.

Alhamdulillah pelaksanaan ibadah qurban kali ini memberi manfaat kepada 18,000 orang dengan anggaran daging seekor lembu diagihkan kepada 60 orang dengan purata seorang memperolehi 1 kilogram daging.

Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah ini jelas mengingatkan setiap kejayaan yang ingin digapai memerlukan usaha dan keazaman yang tinggi.

Langkah proaktif yang digerakkan sejak 13 tahun dahulu kini sudah membantu ribuan umat Islam yang ingin berqurban dan melaksanakan aqiqah.

Dengan pengurusan sistematik dan cekap tidak mustahil TaQY akan menjadi sebuah tabungan yang dipercayai ramai seterusnya mampu mengembangkan pelaksanaan ibadah qurban di negara ini dengan lebih meluas.

Sudah tentu ia memerlukan sokongan banyak pihak termasuk pembabitan kakitangan YaPEIM sendiri yang perlu menjadi ‘duta kecil’ dalam mempromosikan tabungan TaQY kepada masyarakat.

Justeru, masyarakat boleh memainkan peranan dalam bersama YaPEIM untuk melaksanakan ibadah qurban melalui institusi ini yang berpengalaman dalam menguruskan ibadah program saban tahun.