Seramai 250 keluarga dari tujuh kampung di Tampin terima foodbank

Tampin, 18 November – Seramai 250 keluarga dari tujuh kampung di daerah ini menerima manfaat barangan foodbank YaPEIM yang diagihkan di Masjid Kariah Kampung Repah, di sini, hari ini.

Setiausaha Masjid Kariah Kampung Repah, Zainal Chap Pelok berkata, pengagihan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak itu dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak YaPEIM dengan sumbangan foodbank ini. Banyak keluarga yang akan menerima manfaat hasil sumbangan ini,” katanya.

Sumbangan foodbank disampaikan Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan dihadiri barisan pengurusan YaPEIM.

YaPEIM turut mengagihkan sumbangan buku ‘Inilah Doaku’ hasil susunan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan buku Soal Jawab Fiqh COVID-19.