Polis Perak galak pegawai, anggota sumbang kepada Tabung Amanah YaPEIM

Ipoh, 17 Disember – “Saya berpendapat apa yang dilakukan pihak YaPEIM sekarang ini (aktiviti amal jariah) amat baik dan saya akan menggalakkan warga
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk bersama membuat potongan gaji atau derma kepada Tabung Amanah YaPEIM sebagai saham akhirat mereka.”

Kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang menyatakan sokongan dan kekaguman dengan apa yang dilakukan pihak YaPEIM ketika ini terutama dalam menjayakan aktiviti Foodbank YaPEIM 2.0 dan Sinar Kasih.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan YaPEIM sekiranya terdapat ruang dan peluang bagi apa sahaja bantuan kebajikan yang boleh dihulurkan kepada warga Polis Perak dan keluarga mereka pada ketika ini.

“Saya ingin rakamkan ucapan terima kasih kepada pihak YaPEIM kerana turut mengagihkan sumbangan daging segar kepada warga kita yang sudah dikenal pasti memerlukan bantuan.

“Sebelum ini juga pihak YaPEIM ada mengagihkan sumbangan foodbank kepada kita. Bantuan keperluan asas ini amat bermakna dan saya mewakili warga IPK Perak berasa amat bersyukur serta berterima kasih,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata demikian kepada YaPEIM TV selepas majlis penyerahan sumbangan daging segar kepada 100 penerima dikalangan warga Polis Perak di IPK Perak di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan dan pengurusan YaPEIM.