Peranan YaPEIM Dalam Memperkasakan Wanita

Hari Wanita Sedunia merupakan hari bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi mahupun politik. Hari yang bermakna ini didedikasikan kepada wanita apabila ia disambut pada 8 Mac setiap tahun sebagai mengenang serta menghargai peranan kaum hawa dalam turut sama membangunkan generasi. Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai organisasi pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam tidak ketinggalan dalam memainkan peranannya untuk memperkasakan wanita.

Program Mikro Kredit Ar Rahnu YaPEIM yang merupakan aktiviti di bawah teras sosial bisnes YaPEIM adalah contoh terbaik bagaimana Yayasan ini memainkan peranan yang cukup besar terutama dalam membantu wanita mendapatkan modal menerusi medium emas untuk memajukan perniagaan. Berdasarkan data yang diperoleh mendapati daripada 760,000 pelanggan Ar Rahnu YaPEIM, 61 peratus adalah kaum wanita. Di situ jelas menunjukkan pengaruh wanita dalam industri ini.

Di samping itu juga, aktiviti pembiayaan Islam Ar-Rahnu BizNita adalah satu contoh usaha terbaik YaPEIM dalam menawarkan pakej bantuan bagi tujuan memperkasa golongan wanita dalam bidang keusahawanan. Malah aktiviti pembiayaan Islam Ar-Rahnu BizNita turut mendapat perhatian Kerajaan apabila mengumumkan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, tahun lalu. Dana yang diperuntukkan ini sekali gus membolehkan YaPEIM merencanakan pelbagai usaha untuk terus membantu dan menyokong wanita terutama dalam pembangunan ekonomi negara dan keluarga.

Justeru, suntikan dana RM50 juta yang diumumkan Kerajaan itu dijangka dapat digunakan YaPEIM untuk memberi manfaat kepada 2,500 pelanggan wanita serta membolehkan mereka untuk terlibat dalam perniagaan sama ada secara kecil-kecilan atau memperkasakan perniagaan sedia ada. Menyingkap kembali kewujudan Ar-Rahnu BizNita, ia mula diwujudkan selepas YaPEIM meneliti data daripada produk Ar Rahnu Bisnes yang mana produk Ar Rahnu Bisnes telah menyantuni 64 peratus usahawan wanita daripada keseluruhan 8,000 pengguna produk Ar Rahnu Bisnes yang ditawarkan di 212 buah cawangan Ar Rahnu YaPEIM.

Dalam masa sama, YaPEIM turut ke hadapan dalam membela nasib wanita terutama golongan ibu tunggal yang kematian suami akibat kemalangan atau ditimpa musibah dengan menawarkan bantuan yang dikenali Sinar Kasih. Sinar Kasih yang diperkenalkan YaPEIM ini adalah inisiatif yang proaktif dalam menyantuni anak-anak dan balu yang kehilangan ketua keluarga secara mengejut sekali gus memberi sinar baru menerusi program yang diperkenalkan ini. Melalui program ini anak-anak dibantu dengan bantuan kewangan dan balu yang dikenal pasti terutama balu yang tidak mempunyai pekerjaan tetapi mempunyai minat dan tekad untuk berniaga diberi bantuan untuk memulakan perniagaan.

Program Sinar Kasih ini juga menawarkan bantuan kewangan kepada setiap seorang anak berjumlah RM200 selama setahun serta bantuan perniagaan kepada balu sehingga RM20,000. Statistik sehingga 31 Disember 2020 menunjukkan, sejak diperkenalkan pada 2010 program murni ini telah memberi manfaat kepada 841 keluarga dengan 2,460 orang anak memperoleh manfaat membabitkan perbelanjaan RM8.616 juta. Inisiatif Sinar Kasih ini tidak lain adalah bagi memberi sokongan kewangan dan moral kepada kaum wanita yang hilang punca selepas kematian suami tercinta untuk meneruskan kehidupan serta mendepani cabaran membesarkan anak-anak.

Melalui ‘YaPEIM Digital Store’ di aplikasi digital Avana, wanita juga berpeluang membuat wang saku sekali gus menggalakkan mereka menjana pendapatan pasif dengan hanya semudah ‘Share and Earn’ untuk penjualan produk YaPEIM Gold. Justeru, segala usaha yang diperkenalkan YaPEIM ini secara tidak langsung telah memartabatkan golongan wanita dalam sektor sosio-ekonomi dan amal jariah yang merupakan teras utama Yayasan ini. Wanita sentiasa dekat di hati YaPEIM sebagai individu yang memberi impak dalam membangunkan institusi kekeluargaan dan ekonomi negara.