‘Kawah Bonda Kitchen’ sasar pasaran antarabangsa

Kuala Terengganu, 29 September – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa pada 18 Mac lalu ternyata memberi kesan kepada perniagaan katering diusahakan bersama keluarga sejak 25 tahun lalu apabila tidak lagi mendapat tempahan seperti kebiasaan.

Bagaimanapun dugaan itu tidak mematahkan semangat Nor Hazrina Rasli, 34, apabila disebalik ujian menimpa beliau telah memanfaatkan kepakaran ibunya dalam bidang masakan untuk menghasilkan produk pes.

Nor Hazrina berasal dari Kampung Tanjung Sabtu, Manir, di sini berkata, ketika tempoh PKP beliau telah memberi idea kepada ibunya untuk menghasilkan produk pes secara bersama memandangkan produk masakan ibunya mendapat pujian ramai.

“Saya bagi idea kepada ibu untuk hasilkan produk pes dan jual kepada pelanggan, disamping itu kami boleh teruskan perniagaan seperti biasa serta dapat membuat pembayaran gaji pekerja syarikat.

“Percubaan pertama kami edarkan dikalangan saudara mara dan rakan-rakan sahaja, dan kini Alhamdulillah semakin hari semakin bertambah hingga berjaya mempunyai ejen bagi pemasaran dalam talian,” katanya kepada Bahagian Pembangunan Usahawan YaPEIM, di sini, baru-baru ini.

Katanya, beliau berminat untuk mendapatkan sijil halal bagi produk di bawah jenama ‘Kawah Bonda Ktichen’ bagi membolehkan produk dikeluarkan mereka dipasarkan dengan lebih meluas dan dapat diangkat ke peringkat antarabangsa.

Anak kedua dari lima beradik itu berkata, beliau kini sedang berusaha mempelajari syarat dan dokumen yang perlu dilengkapkan bagi memohon pensijilan halal untuk produk dikeluarkan keluarga mereka.

Beliau turut menghargai lawatan yang dilakukan kakitangan Bahagian Pembangunan Usahawan YaPEIM ke bengkelnya serta nasihat yang diberikan membabitkan susun atur produk dan prosedur permohonan sijil halal untuk produk keluaran mereka.

“Saya berharap dapat membesarkan rangkaian perniagaan pes ini dengan memperbanyakkan lagi jenis-jenis pes dan menu yang boleh digunakan segera pada masa akan datang.

“Saya juga merancang untuk membimbing rakan-rakan ibu dengan menjadi rakan kongsi seterusnya membentuk rangkaian ejen dengan lebih kompleks,” katanya yang memulakan perniagaan menjual pes pada 4 Julai lalu.

Untuk pengetahuan, Bahagian Pembangunan Usahawan YaPEIM adalah agensi pembimbing yang menghubungkan beberapa agensi berkaitan keusahawanan dan juga pihak pengurusan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).